Hutang Melampau, Negara Kaya Bakal Ditimpa Malapetaka Kewangan
SCOTTSDALE, 13 Februari 2024 – Pengerusi sebuah badan penasihat pelaburan dan kewangan, Arthur Laffer telah membuat sebuah kenyataan amaran bahawa kebanyakan ekonomi negara yang gagal untuk mengakui akan isu hutang mereka yang menggunung tinggi akan berhadapan dengan “kematian fiskal”.
Arthur Laffer yang merupakan pengerusi Laffer Tengler itu turut meramalkan “satu dekad hutang”, dengan menambah bahawa negara-negara maju dan membangun kini sedang berhadapan dengan krisis pinjaman dan ianya tidak akan “berakhir dengan baik”.
Kenyataan-kenyataan Laffer itu telah dibuat menerusi sebuah sesi temuramah dengan media CNBC pada minggu lalu.
Hutang dunia telah meningkat daripada $100 trilion pada 10 tahun lalu dan telah mencapai rekod tertinggi iaitu sebanyak $307.4 trilion pada September tahun lalu.
Negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis serta Jepun adalah penyumbang utama, iaitu lebih dari 80 peratus bagi peningkatan hutang yang disebutkan berikutan kegagalan mereka dalam mengawal pinjaman dan hutang baharu.
Manakala negara-negara seperti China, India dan Brazil pula dilihat semakin rancak dalam mambuat pinjaman dalam pasaran.
Laffer juga dalam kenyataannya menyatakan bahawa beliau menjangkakan sebahagian negara-negara besar yang tidak menghiraukan isu hutang mereka akan berhadapan dengan kematian fiskal secara perlahan-lahan.
Katanya lagi, ekonomi beberapa negara membangun pula boleh jadi akan berhadapan dengan muflis manakala negara-negara berpendapatan rendah kini berisiko tinggi untuk tidak mampu melunaskan hutang mereka.