Terkini

Hutan Simpan Ulu Jelai Dicerobohi Puluhan Warga China, Melombong

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LIPIS, 21 Mac 2023 – Kegiatan perlombongan haram di Hutan Simpan Ulu Jelai yang dicerobohi puluhan warga China berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, lombong tersebut dibuka seluas 0.28 hektar di kompartmen 411 bagi mendapat galian yang dipercayai unsur nadir bumi (REE).

“Hasil daripada pemeriksaan di kawasan berbukit dan tanah merah oleh anggota unit penguatkuasaan dikatakan telah menemui tujuh kolam yang dipercayai sedia digunakan sebagai penapis dan pengasingan REE.”

BACA JUGA: Rancang Bakar Al-Quran Bulan Ramadan, UK Larang Kemasukan Paludan

BACA JUGA: Kekosongan Guru, 679 Guru Agama Diperlukan Di SAKJ

BACA JUGA: Terengganu Tak Wajibkan Pelitup Muka Di Masjid & Surau

“Selain itu, unit penguatkuasa JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis turut menjumpai beberapa jentera dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk melancarkan aktiviti perlombongan haram itu.”

Katanya, pihak JPNP percaya kegiatan ini didalangi orang tempatan dan warga China berdasarkan bukti-bukti yang terdapat di kawasan kejadian.

“Tiada individu yang ditahan kerana mereka dikatakan sudah mengetahui kehadiran anggota penguat kuasa.”

“Walau bagaimanapun, jabatan sudah melantik satu pasukan siasatan bertujuan mempercepatkan siasatan bagi mengesan pelombong haram ini.”

Kesemua peralatan telah dirampas dan disita bagi siasatan lanjut.

“Tindakan tegas menanti mereka termasuk mengheret mereka ke muka pengadilan. Hukuman di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pihak terbabit,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan terus melakukan aktiviti rondaan dan pemantauan di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai dan beberapa hutan simpan lain di daerah tersebut bagi mengesan kegiatan menceroboh dan memindahkan bahan galian tanpa kebenaran.

Beliau turut menyeru masyarakat setempat termasuk Orang Asli supaya dapat bekerjasama memberi maklumat sekiranya terdapat kegiatan menceroboh hutan simpan dan tanah Kerajaan di daerah itu.

Sementara itu, beliau berkata usaha pemulihan akan dilaksanakan dengan menjalankan penanaman semula sebaik sahaja proses siasatan berhubung isu berkenaan selesai.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: