Hutan Amazon Dijilat Api, Terburuk Sejak 15 Tahun
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RIO DE JANEIRO, 26 Ogos 2022 — Jumlah kebakaran hutan di Amazon Brazil mencecah paras tertinggi sejak 15 tahun lalu pada minggu ini, menurut angka rasmi yang direkod mengenai kemusnahan hutan hujan terbesar di dunia itu.
Menurut agensi angkasa Brazil, INPE, pemantauan satelit mengesan 3,358 kebakaran pada hari Isnin (22 Ogos), jumlah tertinggi untuk mana-mana tempoh 24 jam sejak September 2007.
Jumlah itu hampir tiga kali ganda yang dicatatkan pada ‘Hari Kebakaran’ (10 Ogos 2019).
Menurut Alberto Setzer, Ketua Program Pemantauan Kebakaran INPE, tiada petunjuk bahawa kebakaran hari Isnin semakin reda.
Sebaliknya, pola penebangan hutan dan pembakaran menunjukkan ianya semakin meningkat.
“Kawasan yang paling banyak kebakaran berlaku semakin jauh ke utara,” kata Setzer.
Katanya, kebakaran Amazon berlaku berpunca daripada petani haram dan penternak yang membersihkan tanah dan membakar pokok.
“Sejak dari itu, kebakaran mula merebak.”
Tambahnya, keadaan semakin memburuk apabila cuaca bulan Ogos semakin mengering, ditambah pula dengan pemanasan global yang ekstrem pada akhir-akhir ini.
Dengan rekod 24,124 kebakaran setakat bulan ini, menjadikan bulan ini yang terburuk di bawah kepemimpinan Presiden Brazil Jair Bolsonaro.