Huru-Hara: Penduduk Panik ‘Lockdown’ Di Chengdu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SICHUAN, 03 September 2022 – Penduduk Chengdu melakukan pembelian panik selepas Pihak Berkuasa Pencegahan dan Kawalan Wabak di daerah itu mengumumkan kempen ujian besar-besaran di bandar bermula dari 1-4 September 2022 dan mengarahkan orang ramai untuk berkurung di rumah.
Menurut laporan portal antarabangsa, pasaraya tempatan menyaksikan peningkatan para pembeli yang datang untuk membeli barangan runcit sejak 29 Ogos, apabila khabar angin tentang ‘lockdown’ mula tersebar.
Walaupun pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak “menyimpan secara membabi buta”, namun penduduk langsung tidak mengendahkannya.
Hal ini terbukti menerusi imej tular di media sosial menunjukkan orang ramai bersesak-sesak membeli barangan basah seperti daging, sayur-sayuran, malah ayam hidup sekali gus mengosongkan rak-rak makanan di kedai dan pasaraya.
Ada juga pengguna media sosial yang mengibaratkan tingkah laku penduduk yang beratur menunggu daging dipotong di pasaraya seperti singa dan harimau di zoo yang sedang menunggu makanan.
Susulan perintah berkurung ini, pengguna Weibo (media sosial di China) berkongsi kebimbangan mereka tentang situasi wabak di Chengdu dan berapa lama langkah ini akan bertahan.
Sebelum ini, ‘perintah berkurung secara berperingkat’ Shanghai yang sepatutnya berlangsung selama lima hari berlarutan menjadi dua bulan.
Sepanjang tujuh hari lalu, bandar itu melaporkan sejumlah 606 kes positif baharu, hampir satu pertiga daripada semua kes baharu dilaporkan di tanah besar China minggu ini.