Tempatan

Hukuman Enakmen Syariah Terengganu Masih Dalam Batasan Akta 355: Tidak Wajar Kerajaan Persekutuan Mencampurinya – Dr Mohd Zuhdi Marzuki

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

KUALA LUMPUR, 08 Disember 2022 – “Hukuman Enakmen Syariah Terengganu tersebut adalah senarai bidang kuasa Kerajaan Negeri dan masih dalam batasan yang dibenarkan oleh Akta 355. Maka, amatlah tidak wajar pihak Kerajaan Persekutuan mencampurinya,” tegas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan media yang dibuat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkaitan isu pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 yang dilaporkan sebuah portal tempatan di sini, kelmarin.

Persoalannya yang turut diajukan ialah perlukah Sultan Terengganu sebagai Ketua Agama Islam melayan cubaan campur tangan Federal dalam urusan hal ehwal agama Islam negeri?

Menjawab persoalan itu Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, Sultan Terengganu sebagai Ketua Agama perlu dihormati, baginda akan bertindak dengan nasihat pakar-pakar di Majlis Agama Islam Terengganu dan Kerajaan Negeri.

“Sudah tentu, Kelulusan Enakmen Syariah Terengganu ini dan pindaannya melalui proses demokrasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mewakili majoriti suara rakyat Terengganu,” katanya.

Justeru, pihak yang mempertikaikan enakmen ini sewajarnya mendapatkan penjelasan dari Kerajaan Negeri agar menerima kefahaman yang jelas dan tepat sebelum membuat apa-apa kenyataan berkaitan supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan salah faham.

Selain itu, mereka juga turut dijemput untuk berdialog memberi pandangan sama ada dengan Kerajaan Negeri atau Dewan Ulama PAS Pusat berkaitan isu yang dibangkitkan,”ujarnya.

Sebelum ini, samudera.my menyiarkan kenyataan dari Peguam Senior, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang turut menyarankan kepada Nancy Shukri mahupun keseluruhan Kabinet Anwar Ibrahim supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan agama Islam selain mengingatkan barisan Kabinet itu agar tidak mencampuri urusan Kerajaan Negeri.

“Kalau Kerajaan pusat tidak berjaga-jaga atau berhati-hati berkaitan dengan bidang kuasa Islam di bawah negeri maka ia akan mengucar kacirkan keseragaman yang telah pun diletakkan di bawah Perlembagaan Persekutuan,”tegasnya.

Terdahulu, DUN Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001, yang memasukkan empat seksyen baru.

Empat seksyen itu adalah Seksyen 3A (perbomohan dan sihir), 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah), 33A (wanita menyerupai lelaki) dan 36A (persediaan melakukan liwat).

Menurut Seksyen 29A, wanita beragama Islam yang didapati bersalah hamil atau melahirkan anak luar nikah boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Penguatkuasaan enakmen itu akan bermula selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: