Hukuman Berat Buang Bayi – Dr Samir Muhazzab
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 21 Februari 2022 – Hukuman yang berat dan setimpal perlu dikenakan terhadap si pembuang bayi berikutan berleluasanya jenayah buang bayi yang kian menjadi trend tika ini.
Pensyarah Kanan Kerja Sosial dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Samir Muhazzab Amin mengutarakan pandangan ini berikutan pertambahan kes pembuangan bayi setiap tahun yang semakin parah dalam kalangan masyarakat kita hari ini.
“Undang-undang perlu dikuatkuasakan dengan lebih serius bagi membendung ‘barah’ yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.”
“Contohnya, di bawah Enakmen Jenayah Syariah di Malaysia, masih belum terdapat hukuman berat yang dijatuhkan bagi kesalahan pembuangan bayi.”
Menurut beliau tindakan penguatkuasaan Syariah di Malaysia lebih kepada pencegahan malah kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran masih belum diperuntukkan dalam Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah.
Berikutan jenayah buang bayi yang semakin berleluasa ini, Dr Samir Muhazzab berpendapat bahawa ia dapat dibendung dengan cara memberikan pendidikan seks secara komprehensif. Ibu bapa seharusnya bersikap lebih terbuka dalam membincangkan hal-hal yang berkaitan pendidikan seks dan memberi penekanan mengenai batas pergaulan antara anak lelaki dan perempuan.
Ujarnya kepada Bernama baru-baru ini, pelaku yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kes pembuangan bayi ini harus dikenakan hukuman lebih berat dan transformasi undang-undang perlu dilaksanakan berikutan peningkatan kes itu setiap tahun.
“Dalam tempoh ini juga (2018 hingga 2021), sebanyak 141 kes membabitkan janin manakala 302 lagi adalah bayi baru lahir. Manakala jantina bayi yang dibuang seramai 141 adalah bayi lelaki, 114 perempuan dan 188 lagi tidak diketahui,” ujar Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Polis (ACP) Siti Kamsiah Hassan.
Ulasnya lagi, kes buang bayi kebanyakannya terjadi kerana kehamilan luar nikah di mana mangsa atau suspek mengandung sebelum berkahwin dan masih belum bersedia serta luar dari pengetahuan keluarga.
Bulan lalu, orang awam menjumpai mayat seorang bayi perempuan di Blok A Flat Danau Kota, Jalan 3/23D Danau Kota, Setapak yang beralaskan papan kayu. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat dengan sulit.
Hukuman paling tinggi yang boleh dikenakan terhadap pesalah khalwat, berzina atau bersekedudukan menurut Enakmen Jenayah Syariah Negeri adalah dengan tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali atau kedua-duanya sekali.