Antarabangsa

Hukum Penjara Seks Luar Nikah, Selari Nilai Indonesia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JAKARTA, 04 Disember 2022 – Parlimen Indonesia dijangka meluluskan kanun jenayah baharu yang mengenakan hukuman penjara bagi kesalahan seks luar nikah selari dengan nilai Indonesia pada 15 Disember ini.

Sebuah laporan tempatan melaporkan, Timbalan Menteri Kehakiman Indonesia, Edward Omar Sharif Hiariej berkata, hukuman tersebut bakal diluluskan setelah beberapa dekad membincangkannya iaitu sejak Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya dari Belanda pada tahun 1945.

Selain itu, pindaan tersebut juga merangkumi larangan bersekedudukan sebelum berkahwin, tindakan menghina presiden atau institusi negara serta mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan ideologi negara berkenaan.

“Kami bangga kerana mempunyai kanun jenayah yang selaras dengan nilai-nilai Indonesia,” ujar timbalan menteri itu.

Mengulas lanjut, Bambang Wuryanto, ahli Parlimen Indonesia yang terlibat dalam draf tersebut mengatakan bahawa kod baharu itu boleh diluluskan seawal minggu hadapan.

Ia mendapat sokongan beberapa kumpulan Islam konservatif Indonesia manakala pembangkang berpendapat bahawa ia bertentangan dengan pembaharuan liberalisasi yang digubal selepas kejatuhan pemimpin autoritarian pada 1998.

Pengkritik berkata, beberapa pindaan minimum telah dibuat. Pada masa yang sama, mutakhir ini, kerajaan Indonesia telah mengadakan rundingan awam di seluruh negara untuk menyampaikan maklumat mengenai pindaan berkenaan.

Antara perubahan yang dibuat termasuk peruntukan yang membenarkan hukuman mati ditukar kepada penjara seumur hidup dengan syarat selepas 10 tahun berkelakuan baik.

Menurut draf terbaru bertarikh 24 November, hubungan seks luar nikah hanya boleh dilaporkan oleh pihak tertentu seperti saudara terdekat yang boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun.

Bagi kesalahan menghina presiden, hukuman penjara dikenakan maksimum tiga tahun dan hanya boleh dilaporkan oleh presiden.

Sementara itu, pindaan undang-undang tersebut mendapat kritikan Andreas Harsono dari Human Rights Watch. Katanya, perubahan kanun itu akan menjadi ‘kemunduran besar kepada demokrasi Indonesia’.

Edward Omar menolak kritikan berkenaan dengan menegaskan bahawa versi akhir draf akan memastikan undang-undang serantau mematuhi perundangan negara berkenaan dan kod baharu itu tidak akan mengancam kebebasan demokrasi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: