Antarabangsa

Hujan Lebat Daripada Biasa, Singapura Rekod 21 Kejadian Tanah Runtuh

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SINGAPURA, 04 Oktober 2022 – Kejadian tanah runtuh di Singapura dilaporkan meningkat sejak dua tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan jumlah hujan yang lebih tinggi daripada biasa.

Secara purata, sebanyak 21 kejadian tanah runtuh dilaporkan setiap tahun pada 2020 dan 2021.

“Jumlah hujan lebih tinggi daripada biasa dicatat pada 2020 dan 2021 boleh menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada lebih banyak kejadian tanah runtuh sejak dua tahun lalu,” kata Menteri Pembangunan Negara (MND) Desmond Lee pada Isnin lalu di sidang Parlimen.

Jumlah ini lebih tinggi berbanding empat insiden sedemikian yang dilaporkan kepada Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) setiap tahun antara 2017 dengan 2019.

Namun jelasnya, kejadian yang berlaku tidak memberi kerosakan besar kepada prasarana, kesemuanya adalah kes kecil yang melibatkan pergerakan lapisan cetek tanah.

Dalam pada itu, Desmond Lee turut memaklumkan beban tambahan pada cerun dan perubahan kepada jenis cerun disebabkan kerja-kerja binaan juga menjadi sebab pergerakan tanah.

Oleh itu, katanya agensi-agensi yang terlibat akan menjalankan pemeriksaan dengan lebih kerap terhadap cerun-cerun yang mungkin memberi risiko kepada keselamatan orang ramai, dan melaksanakan langkah-langkah mengurangkan bahaya bagi menstabilkan cerun-cerun jika perlu.

“BCA juga akan menilai semula semua cerun yang terbentuk atau diubah akibat kerja-kerja binaan, bagi risiko kegagalan oleh orang berkelayakan (QP) sebelum kerja-kerja binaan bermula,” tambahnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: