HSP 3.0: Majikan Diseru Galakkan Pekerja Buat Saringan Kesihatan Percuma Di Hospital Kerajaan
KUALA LUMPUR, 02 Jun 2023 – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan Program Saringan Kesihatan Perkeso 3.0 (HSP 3.0) bagi memberi kesedaran kepada majikan tentang keperluan untuk menjaga kesihatan pekerja mereka.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata, secara purata, 63 kes berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD) dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setiap hari.
BACA JUGA: Doktor Mahu Caj RM1 Klinik Kesihatan Dinaikkan
BACA JUGA: Isu Air: Kelantan, Sabah, Sedia Kerjasama Dengan Kerajaan Pusat
BACA JUGA: Johor Sasar 8,000 Orang Awam Khatam Al-Quran Setahun
Sehubungan itu, beliau menggesa pekerja mengambil peluang daripada program ini yang dilengkapi dengan parameter pemeriksaan kesihatan yang lebih baik dan ujian saringan yang meluas untuk mengesan lebih banyak faktor risiko NCD.
Memetik statistik PERKESO tahun lepas, Mustapha berkata 23,174 pencarum mengalami hilang upaya atau meninggal dunia akibat NCD.
“Analisis HSP 2022 mendapati 42% pekerja mengalami obesiti, 14.1% menghidap diabetes, 27.9% mempunyai tekanan darah tinggi, dan 61.2% mempunyai kolesterol tinggi.”
“Saringan kesihatan boleh membantu individu mengesan penyakit pada peringkat awal diikuti dengan mengawal dan mengelak komplikasi serius yang melibatkan kos tinggi untuk rawatan,” katanya semalam pada pelancaran HSP 3.0 di Pusat Pembelajaran UEM Edgenta.
Mustapha juga berkata, PERKESO menyasarkan lebih 2.2 juta pencarum berumur antara 40 dan 59 tahun untuk mengambil bahagian dalam HSP 3.0 tahun ini.
HSP 3.0 dilaksanakan melalui geran RM70 juta di bawah Bajet 2023 telah bermula pada 16 Mei lalu dan akan berlangsung sehingga 31 Disember dengan menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarumnya yang berumur 40 tahun ke atas.