Tempatan

HRW Promosi Kanak-Kanak Trans: Bukti LGBT Bergerak Ke Fasa Seterusnya – Prof Madya Dr Rafidah Hanim

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2021: “Tindakan HRW mula mempromosikan #PRIDE atau LGBT untuk kanak-kanak adalah bukti bahawa mereka bergerak ke fasa seterusnya,” kata Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Mengulas lanjut, beliau menyatakan, ribuan anak-anak dan remaja di UK dan US diperdaya untuk mengambil ubat menghalang baligh atau “puberty blocker” kerana mereka ingin menukar jantina.

Di UK, ibu bapa terpaksa menubuhkan organisasi bernama Transgender Trend yang membantah garis panduan disediakan oleh pihak pro LGBT bernama Stonewall ke sekolah-sekolah, yang antara lain menyokong dan mempertahankan rawatan mencegah baligh, dalam menyokong anak-anak ini mengubah jantina. Dilaporkan ada anak-anak semuda 11 tahun telah dipengaruhi.

Di US, oleh kerana gerakan mempengaruhi pelajar sekolah dengan elemen LGBT terlalu hebat, negeri Arkansas terpaksa menggubal akta “Arkansas Save Adolescents from Experimentation (SAFE)” bagi mengharamkan “puberty blocker” dan pembedahan pertukaran jantina yang ditawarkan oleh pro-LGBT kepada pelajar-pelajar sekolah.

Di Canada pula, seorang ayah, Robert Hoogland dipenjara atas dakwaan menghina mahkamah apabila beliau misgendering – salah dalam panggilan jantina kepada anak perempuan sendiri yang baru berusia 14 tahun yang ingin dikenali sebagai lelaki.

Dalam masa sama di Malaysia, telah wujud satu bentuk promosi terbuka elemen LGBTQ, yang kini cuba untuk dibawa masuk ke sekolah dan berselindung di sebalik kempen “sekolah selamat”.

“Adakah sekolah di Malaysia akan berhadapan dengan tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah sebegitu?” soal beliau yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) ini.

Mengakhiri kenyataan, Pengerusi Bersama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) ini menegaskan bahawa kanak-kanak hanya selamat apabila mereka ditanam dengan konsep mencegah lebih baik dari merawat, dan bukannya kaedah seks selamat dengan terus melakukan aktiviti berisiko.

“Kanak-kanak hanya akan selamat dengan ilmu agama yang benar dan sahih, tentang larangan agama terhadap homoseksualiti, biseksualiti dan lesbianism.”

“Kanak-kanak hanya akan selamat jika maklumat kesihatan yang jujur dimaklumkan, bahaya seks anal, dan bahaya seks bebas.”

“Kanak-kanak juga hanya akan selamat jika pendidikan seksual diberikan sepenuhnya dalam kerangka kekeluargaan berasaskan agama,” tegas beliau.

Posting Facebook Human Rights Watch (HRW) hari ini yang dilihat sebagai menyokong kanak-kanak menjadi transgender dikecam sebahagian pengguna FB di mana mereka membantah dan menempelak HRW kerana cuba membentuk kanak-kanak mengubah jantina mereka.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: