Tempatan

Hospital Bera Dibuka April Ini

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BERA, 19 Februari 2022 – Hospital Bera bakal beroperasi pada penghujung April ini setelah hospital yang mula dibina pada 2010 itu siap sepenuhnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Hospital kini berada di fasa akhir penyediaan peralatan dan perabot dan secara fizikalnya, projek tersebut telah siap 95 peratus dan menjangkakan kemasukan petugas pentadbiran pada Mac ini.

“Paling awal kita jangka menjelang Mac kakitangan pentadbiran akan memulakan tugas di sini dan bulan seterusnya kakitangan bahagian perkhidmatan lain akan masuk secara berperingkat-peringkat.

“Berdasarkan taklimat tadi kita percaya Hospital Bera ini dapat mula beroperasi selewat-lewatnya penghujung April nanti,” katanya pada lawatan Kerja Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Ke Hospital Bera pada 16 Februari yang lalu.

Hospital Bera menelan belanja sebanyak RM130 juta berbanding kos permulaan RM88 juta akibat pertukaran kontraktor. Difahamkan, pembinaan hospital itu kemudiannya diserahkan kepada kontraktor kedua pada 2012 yang sepatutnya disiapkan pada 2015, namun ia masih gagal disiapkan sebelum ia diambil alih kontraktor ketiga pada 5 Januari 2021.

“Jika semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual, saya percaya hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya hujung tahun hadapan,” ujarnya.

Kira-kira 150,000 penduduk daerah Bera bakal mendapat kemudahan kesihatan yang lebih baik tanpa perlu berulang-alik ke Hospital Temerloh atau Kuala Pilah.

Leave a Reply

Back to top button