Hormat Hak Istimewa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam Tegas Pemimpin PAS
KUALA LUMPUR, 14 Februari 2023 – Pengerusi PAS Perak, Razman Zakaria menegaskan agar semua pihak menghormati hak istimewa orang Melayu dalam perkhidmatan awam.
Beliau yang memetik kepada Perlembagaan Persekutuan menegaskan, “hak istimewa orang Melayu dalam perkhidmatan awam” termasuk dalam undang-undang Malaysia dan “kontrak sosial” tanpa memberi butiran lanjut.
BACA JUGA: Hentikan Perobohan Rumah & Pengusiran Rakyat Palestin – OHCHR
BACA JUGA: Tiada GST, Subsidi Golongan ‘Kayangan’ Akan Dikurangkan – PM
BACA JUGA: 14 Februari: Cinta, Cita & Perjuangan
Isu berhubung komposisi etnik ini telah menjadi perdebatan hebat baru-baru ini susulan daripada kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy yang menggesa agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menangani penguasaan komuniti Melayu dalam perkhidmatan awam.
Namun, perkara berkenaan disangkal oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam, Datuk Adnan Mat yang menyatakan bahawa pemilihan serta pelantikan kakitangan perkhidmatan awam adalah berdasarkan merit dan kompetensi dan bukanlah berdasarkan etnik, agama, kaum mahupun negeri tertentu.
Dalam masa yang sama, Razman menyeru semua pihak terutamanya parti politik untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menghormati undang-undang serta asas kontrak sosial yang membentuk kemerdekaan.
Tegasnya, segala hak yang termaktub dalam Perlembagaan dan persefahaman dalam membentuk negara haruslah dipatuhi dan dihormati.
Beliau turut menegaskan, mempersoalkan hak orang Islam serta sensitiviti orang Melayu, memberi kritikan terhadap amalan Islam, mempersoalkan tulisan jawi, mempersoalkan peruntukan agama Islam sebagai agama rasmi serta Raja-Raja Melayu seharusnya dielakkan kerana ia boleh membawa kepada ketidakharmonian di samping mengancam keselamatan negara.