HIV: Jangkitan Dadah Menurun, 95% Berpunca Dari Hubungan Seksual Sejak 2012
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 31 Disember 2022 – Ketua Sektor HIV/ Bahagian Kawalan (Penyakit) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Anita Suleiman menyatakan bahawa 95% penyebab epidemik HIV adalah berpunca dari hubungan seksual.
“Kita telah berjaya mengurangkan jangkitan dalam kalangan penagih dadah suntikan, tetapi malangnya, sejak 10 tahun lalu, kita sudah tidak lagi melihat penurunan kerana majoriti kes kita, 95% kes kita adalah hubungan seksual dan kita tahu seksual ini taboo yang tidak boleh kita nak bercakap lantang dan sebagainya.”
Ujarnya dalam satu wacana anjuran portal Sinar baru-baru ini, KKM berjaya mengurangkan HIV dalam kalangan penagih dadah melalui program harm reduction, pertukaran jarum suntikan, namun, kementerian itu memerlukan mekanisme berbeza bagi mencegah jangkitan HIV secara seksual.
“You have to have a different mekanisme pula untuk kita tackle transmisi secara seksual. Betul, ia terkait dengan tingkah laku songsang dan sebagainya.”
“Apabila kita mengetahui bahawa ada PrEP yang boleh mencegah jangkitan 99% melalui seksual, di sini kita lihat ada mekanisme yang perlu ditambah kepada pakej pencegahan sedia ada.”
“PrEP is not going to replace. Ia tidak akan menggantikan pencegahan yang ada,” katanya lagi.
Bagi Profesor Perubatan USIM, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar, banyak lagi perkara yang masih tidak dilaksanakan sebelum boleh dikatakan bahawa farmakoterapi PrEP adalah pilihan yang terbaik.
Oleh sebab itu, beliau menegaskan bahawa abstinen merupakan langkah pencegahan terbaik dalam menangani jangkitan HIV yang tersebar melalui hubungan kelamin.