Tempatan

Hina Raja, Peniaga Ketam Dipenjara 6 Bulan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KANGAR, 04 Julai 2024 – Akibat menghantar perkhidmatan komunikasi bersifat jelik mengenai Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, seorang peniaga ketam dikenakan penjara enam bulan serta denda RM15,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, lapor berita tempatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dari Changlun, Kedah itu didapati membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi bersifat jelik terhadap Raja Perlis dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan nama profil “Muhammad Muhammad (Ku Teh Ku Muhammad).

Perbuatan itu didapati dilakukan pada 6 Mac lalu sekitar jam 3.26 pagi dan disedari pengadu yang juga pelayar Facebook pada jam tujuh pagi hari yang sama.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

Tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan dan juga denda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwaan Negeri Perlis, Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Che Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam hujahan, Mohd Izham memohon pihak mahkamah untuk memberikan satu hukuman yang berat kerana ia membabitkan institusi istana dan kepentingan awam.

Perbuatan tertuduh juga adalah serius berikutan ia mengheret Raja Perlis sebagai Ketua Agama Islam negeri dalam hal tersebut selain turut mempermainkan isu agama Islam yang sensitif kepada semua pihak.

Malah, hantaran tertuduh dalam media sosial juga merupakan kesalahan yang serius kerana ia melibatkan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh pula merayu kepada mahkamah bahawa hak tertuduh juga perlu dijaga berikutan tertuduh mempunyai masalah skizofrenia selain tertuduh juga terpaksa menanggung ibunya yang uzur dan lumpuh serta pendapatannya yang tidak menentu sebagai peniaga di Pasar Besar Sena, Kangar.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikhnya ditangkap serta denda sebanyak RM15,000 dan tambahan penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: