Hina Nabi: Lagi Disiasat Pihak Polis
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PERAK, 26 Julai 2022 – Pihak polis akan menjalankan satu siasatan terhadap seorang individu yang didakwa membuat hantaran menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam di laman sosial Facebook, lapor media tempatan.
Hantaran yang tular itu mendapat perhatian warganet dan rata-rata meminta pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sehingga kini masih belum menerima sebarang laporan berkaitan isu tersebut.
“Setakat ini kita belum terima laporan secara rasmi lagi, tetapi saya akan semak sama ada laporan itu ada dibuat di negeri lain.”
“Kalau (laporan polis), kita siasat apa kesalahan yang dilakukan sama ada di bawah Akta 506, atau jika sampai menghina agama, siasatan boleh dibuat di bawah Akta Hasutan,” ujar beliau dalam Program High Profile Policing (HPP) Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor.
Semalam, samudera.my turut melaporkan kes mengenai seorang penganggur yang dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan sebagai tambahan kepada hukuman 6 bulan penjara sedia ada oleh Mahkamah Sesyen akibat memuat naik video penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam.
Beliau dijatuhkan hukuman tersebut selepas gagal membayar denda RM10,000.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.