Tempatan

Hina Islam: Kuatkuasakan Undang-Undang Sedia Ada Dengan Lebih Tegas – Mufti Pahang & Johor

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2022 – Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman berpendapat bahawa undang-undang sedia ada sudah cukup untuk pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas kepada mereka yang terlibat menghina agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

“Sebenarnya undang-undang (membendung perbuatan itu) sudah banyak. Saya ingat undang-undang sedia ada sudah cukup.”

Justeru, menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan lebih tegas adalah langkah yang perlu diambil pihak berkuasa di kesemua 14 negeri dalam mengekang individu atau pihak tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

“Apa yang penting sekarang adalah penguatkuasaan. Maknanya, (pihak berkuasa) kena lebih tegas dan apabila (kesalahan) dibaca oleh satu-satu negeri di seluruh Malaysia beerti ia berlaku di semua negeri. Bermakna semua negeri boleh mengambil tindakan yang sama untuk penguatkuasaan.”

Menyokong kenyataan tersebut, Mufti Johor, SS YB Dato’ Haji Yahya Ahmad berkata bahawa ianya perlu kepada penguatkuasaan yang tegas dan dapat menimbulkan kegentaran awam sekali gus mengekang perbuatan tersebut dari berulang.

“Saya sependapat dengan Mufti Pahang bahawa undang-undang yang ada ini memang sepatutnya dikuatkuasakan dengan lebih berkesan lagi dan melibatkan semua pihak.”

Dato’ Yahya Ahmad juga menyarankan supaya tindakan undang-undang kepada mereka yang terlibat harus menjadi langkah terakhir selepas pendekatan cara berhemah diambil.

“Perkara itu perlu diambil perhatian sebelum tindakan undang-undang dikenakan kepada mereka yang berkenaan.”

Pendekatan memberi kefahaman dan pendidikan perlu dilaksanakan bagi menunjukkan keindahan agama Islam itu sendiri, ujar beliau lagi.

Tambah beliau dengan tegasnya, jika ia jelas bertujuan mencetuskan provokasi seperti cubaan memecah belahkan umat Islam dan menghina agama maka tindakan sewajarnya perlu diambil.

Baru-baru ini, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd. Noor mengeluarkan kenyataan supaya undang-undang sedia ada disemak semula dan diperketatkan supaya dapat membendung individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: