Hina Allah dan Nabi: Wajah Berpaling Dari Kiblat Ketika Pengebumian
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 23 Julai 2022 – Dr Mohd Shahid Mohd Noh, Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), berkongsikan tentang kisah bagaimana wajah seorang penghina nabi berpaling dari arah kiblat ketika proses pengebumian sedang dijalankan.
Menurut beliau, Al-Qadi Iyadh al-Maliki ada mencatatkan tentang peristiwa ini, di mana seorang penyair telah dihukum bunuh kerana menghina Allah S.W.T., para nabi, dan Nabi Muhammad S.A.W.
Namun, kejadian yang memeranjatkan berlaku ketika mayatnya hendak diangkat untuk disemadikan, si mati telah berpaling dengan sendirinya daripada arah kiblat.
“Jasadnya berpaling dari arah kiblat dengan sendirinya lalu disahut laungan takbir orang menyaksikan hal itu sebagai tanda nyata mengenai kekuasaan dan laknat Allah S.W.T. terhadap mereka yang menghina baginda,” menurut beliau, seperti yang ditulis di Berita Harian.
Beliau kemudiannya mengulas peristiwa tersebut, di mana beliau menyatakan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk seseorang bertindak menghina Nabi Muhammad S.A.W. yang telah banyak berjasa buat umat Islam dan buat seluruh dunia secara amnya.
Menurut beliau, kegagalan umat Islam dalam mengenal keperibadian baginda adalah merupakan punca sesetengah umat kini tidak menghargai dan menghormati baginda S.A.W.
“Harus kita akui kegagalan umat Islam mengenal keperibadian Nabi Muhammad S.A.W. adalah faktor membuatkan sebahagiannya tidak menghargai dan memberikan penghormatan selayaknya kepada Nabi akhir zaman ini,” jelas beliau.