Hina Agong & Permaisuri, Lelaki Cina Didenda RM3,500
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MELAKA, 15 Disember 2022 – Baru-baru ini, Mahkamah Majistret Ayer Keroh menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap Ronney Soo Eng Lee, 44, atas kesalahan menghina KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada April lalu.
Bukan itu sahaja, tertuduh turut didakwa sengaja menghina Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan percakapan jelik sehingga mendatangkan kemarahan pengadu, Kamal Bashah Jantan, 52.
Oleh itu, Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, dan mensabitkannya dengan pertuduhan, meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu diarahkan untuk mengalihkan gambar Seri Paduka Baginda berdua serta Tun Mohd Ali dan Datuk Seri Sulaiman yang digantung di pejabat utama kilang tempat mereka bekerja di kawasan Perindustrian Ayer Keroh.
Berdasarkan laporan media, ketika pengadu sedang menjalankan tugas, tertuduh muncul dengan kenyataan penghinaan sehingga membuatkan pengadu berasa tidak puas hati kerana ia membabitkan institusi Raja-Raja Melayu dan pemimpin tertinggi Melaka.
Kenyataan tertuduh jelas menunjukkan dia sengaja melakukan provokasi yang boleh memecahkan keamanan awam.
Menurut peguam, Ishak Mohd Kari, tertuduh turut dikenakan tindakan disiplin oleh majikannya dan dikatakan tidak pernah mengeluarkan lagi perkataan sedemikian.