Tempatan

Himpunan Bantah ICERD Lahirkan Permuafakatan Politik Melayu, Tetapi…

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 09 Disember 2021 – Tanggal 08 Disember 2018. Tarikh keramat yang menyaksikan kesatuan ummah dan permuafakatan antara dua seteru parti politik terbesar Malaysia melalui platform penyatuan ummah. Pada hari itu, telah berlangsung satu perhimpunan mega, Himpunan 812 bertujuan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Tahun ini genaplah tiga tahun usia Himpunan 812. Sedikit sebanyak latar belakang mengenai Himpunan 812:

Himpunan 812 yang juga disebut sebagai perhimpunan aman kesyukuran kerajaan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) berlangsung di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018.

Perhimpunan ini adalah anjuran NGO Melayu Islam iaitu Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dan Sekretariat Kedaulatan Rakyat (RAKYAT) dan disokong oleh UMNO dan PAS.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man antara nama pemimpin yang hadir dalam perhimpunan kesyukuran tersebut.

Menurut The Patriots, perhimpunan yang berjaya mengumpulkan lebih 600,000 rakyat jelata itu berjalan dengan aman dan teratur, jauh melangkaui gosip-gosip dan khabar angin yang berlegar di media sosial sebelumnya, yang rata-ratanya menyatakan perhimpunan ini akan bertukar ganas apabila “pejuang-pejuang Melayu” dan “pak-pak lebai” berkumpul beramai-ramai.

Bagaimanapun pada 23 November 2018, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media secara jelas telah menyatakan pendiriannya di mana kerajaan tidak akan meratifikasikan ICERD.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD). Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” menurut kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri pimpinan Tun Dr Mahathir ketika itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, perhimpunan itu berlangsung secara aman, lancar dan selamat.

Bukan sahaja perhimpunannya aman lagi teratur, ia juga perhimpunan yang bersih, baik aspek kelakuan mahupun keadaan sekitar, serta berjaya dalam mencapai objektif utama iaitu menghentikan sebarang ratifikasi konvensyen dan triti antarabangsa yang ingin ditandatangani kerajaan ketika itu.

Berucap di pentas Himpunan 812 di Dataran Merdeka Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama UMNO-PAS bukan sahaja sebagai gagasan pembangkang tetapi akan diterjemahkan dalam isu-isu membabitkan orang Melayu dan Islam.

“Saya bersetuju dengan Presiden PAS bahawa ini (kerjasama) bukan gabungan politik tetapi gabungan fikrah dalam kalangan kita, kerana rakyat mengharapkan kesatuan antara UMNO dan PAS. Saya mahu UMNO dan PAS bersatu mulai sekarang.”

Hasil daripada penyatuan ummah ini, lahirlah Muafakat Nasional pada 14 September 2019. Muafakat Nasional (MN) merupakan sebuah gagasan kerjasama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dicetuskan hasil daripada Piagam Muafakat Nasional dalam Himpunan 812.

Menurut PAS dan UMNO, permuafakatan ini adalah satu pendekatan yang berpandangan jauh demi kepentingan semua, bukannya menjerumus apatah lagi mencetuskan politik perkauman.

Namun, baru-baru ini, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PAS menolak gagasan MN disebabkan UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Perkara ini segera dinafikan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan, “UMNO tidak pernah mungkir pada piagam Muafakat Nasional (MN) dan ia tidak ditubuhkan dengan matlamat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mesti menjadi sebahagian daripadanya.”

Memaksa UMNO menerima Bersatu adalah bercanggah dengan semangat sebenar MN diasaskan, ditambah sejarah bagaimana Bersatu bersekongkol dengan DAP dalam menentang UMNO dan menumbangkan Kerajaan pimpinan UMNO, tambah beliau.

Presiden PAS pula menegaskan bahawa, ketika MN ditubuhkan, piagam atau perjanjian yang dibuat menyatakan bahawa gabungan itu boleh menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tidak sampai tiga tahun penyatuan ini terhasil dengan asbab Perhimpunan 812, kini semuanya kembali seperti debu-debu yang ditiup angin. Yang membangkitkan semangat penyatuan ini ialah keinsafan melihat bagaimana penindasan demi penindasan yang berlaku ke atas umat Melayu-Islam pasca PRU-14. Apakah perlu kekuatan umat ini jatuh sekali lagi untuk menampar kesedaran semula kepada pemain-pemain politik Melayu Islam?

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: