Tempatan

Hilang Deria Bau Bukan Gejala Omicron

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 Februari 2022 – Varian Omicron tidak memberi kesan terhadap deria bau pesakit yang dijangkiti COVID-19 seperti varian Delta, kata Dr Masita Arip, Pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi dan Imunologi) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Beliau memaklumkan bahawa gejala ini merupakan satu perbezaan yang ketara antara pesakit yang dijangkiti varian Delta dengan varian Omicron.

Tambah beliau, antara gejala utama varian Omicron adalah sakit kepala dan loya. Varian ini juga tidak menyebabkan demam dengan suhu yang tinggi sebagaimana yang dialami sesetengah pesakit COVID-19 varian Delta.

Dr Angelique Coetzee, seorang doktor di Afrika Selatan berkata, meskipun gejala varian Omicron tidak jauh bezanya, namun ia memiliki kadar mutasi yang lebih tinggi, penularan yang lebih cepat walaupun gejalanya ringan.

Dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV baru-baru ini, Dr Masita menasihati orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit kepala supaya mendapatkan rawatan dengan segera. Menurutnya, gejala bagi penghidap varian Omicron lebih singkat iaitu kurang lima hari berbanding penghidap varian Delta.

Katanya, individu yang didapati positif setelah melakukan ujian kendiri COVID-19 di rumah, perlu jujur dan bertanggungjawab dengan tidak membahayakan orang lain serta tidak keluar rumah.

Masyarakat Malaysia perlu bersikap matang ketika berhadapan dengan situasi melawan pandemik COVID-19, dengan mendapatkan rawatan segera apabila bergejala, mengamalkan kawalan kendiri serta mengambil dos penggalak supaya mempunyai imuniti terhadap varian tersebut.

Leave a Reply

Back to top button