HFMD Meningkat, Farmasi Kehabisan Stok Ubat – Presiden Persatuan Farmasi Malaysia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 04 Jun 2022 – Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, farmasi dalam negara sedang mengalami kekurangan bekalan ubat, malah ada yang sudah kehabisan stok ubat, berkemungkinan disebabkan oleh penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang semakin berleluasa.
“Rawatan untuk jangkitan HFMD tidak spesifik dan ada antara farmasi yang kini sudah kehabisan stok dan tidak mempunyai pilihan ubatan alternatif terutamanya untuk rawatan kepada bayi,” katanya menurut Berita Harian.
Menurut portal itu lagi, beberapa jenis ubat-ubatan dikesan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta.
Antara ubat yang didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit HFMD disebabkan peningkatan kes itu di seluruh negara.
Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Boi Saidi Abd Razak pula memaklumkan, maklumat yang diperoleh pihaknya mendapati, punca kekurangan adalah kerana pembekal dari dalam dan luar negara tidak dapat menyediakan bekalan seperti yang ditetapkan berikutan kekurangan bahan mentah.
Justeru beliau berharap agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat segera campur tangan bagi mengatasi masalah ini.
“Bahan mentah ini sangat penting kerana ia diperlukan untuk memproses ubat-ubatan yang dikilangkan di negara ini.”
“Kegagalan kilang untuk mendapatkannya (bahan mentah) dalam waktu yang ditetapkan menjejaskan pengeluaran ubat dalam negara.”
“Daripada maklumat yang diperoleh pihak kami mendapati sekiranya masalah ini tidak dibendung segera, kekurangan bekalan ubatan ini boleh berlanjutan sehingga hujung tahun,” tegas Dr Boi Saidi.
Februari lalu, Samudera.my pernah melaporkan rakyat Pahang melakukan pembelian panik paracetamol sebagai persediaan untuk mengurangkan kesan sampingan selepas menerima suntikan dos penggalak.
“Bekalan ubat Paracetamol jenama terkemuka paling terjejas bermula bulan ini. Kami langsung tiada bekalan sedangkan pengguna mahu menggunakan ubatan jenama itu,” ujar pemilik Farmasi Sekilau, Zuraida Abdul Kadir.
Tinjauan Sinar Harian pula mendedahkan, rak yang mempamerkan bekalan Paracetamol didapati kosong di beberapa farmasi komuniti, kedai runcit dan kedai serbaneka.