HENTIKAN SENGKETA, UTAMAKAN NEGARA – ISLAMI
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Kemelut politik dan krisis Perlembagaan yang sedang berlaku dalam keadaan negara masih bergelut dengan musibah COVID-19 dan kesuraman iklim ekonomi, amat menggusarkan kami.
Demi kesejahteraan rakyat dan negara, kemelut ini perlu diselesaikan secara berhikmah, dan ditamatkan seberapa segera yang boleh. Ini kerana, sengketa politik dan krisis Perlembagaan yang berpanjangan akan hanya merencatkan usaha pemulihan negara serta menambahkan lagi tekanan kepada rakyat.
ISLAMI ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara.
Setiap peringkat seharusnya menjalankan tanggungjawab bermasyarakat, sama ada pemimpin mahupun rakyat. Utamakan usaha menolak mudarat yang lebih besar dan mendapatkan manfaat yang lebih umum.
Warga ISLAMI turut mendoakan agar Allah Tabaraka wa Taala mengurniakan limpahan hikmah dan himmah kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan amanah baginda sebagai Ulul-Amri Tertinggi tanah watan ini.
Semoga dengan itu sejahteralah negara tercinta ini di bawah naungan rahmat Allah Taala.
Daulat Tuanku!
Pertubuhan Ikatan Ilmuwan
Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI)
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*