Tempatan

Hentikan Pergeseran Kuasa, Hormati Titah Raja – Persatuan Ulama Malaysia (PUM)

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2021 – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengesyorkan agar semua parti politik tidak kira parti bersama-sama membantu membangunkan negara, bukannya terus bersengketa merebut kuasa.

“Seharusnya para pemimpin parti-parti politik ini memikirkan tentang kemaslahatan rakyat yang sekarang ini perlu diberikan perhatian terutama apabila berlakunya kes-kes kematian yang disebabkan oleh Covid-19 ini yang tidak mengenal usia termasuklah terhadap golongan muda,” kata Yang Dipertua PUM, Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir.

Tambahnya, rakyat sudah bosan dengan gelagat para pemimpin politik yang saban hari memikirkan untuk melakukan tindakan untuk mendapatkan kuasa, dengan pelbagai cara termasuklah ada yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan seumpamanya.

Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia terutama para pemimpin parti-parti politik untuk menghormati titah nasihat yang disampaikan oleh Raja-Raja Melayu ini demi kestabilan pentadbiran negara.

“Antaranya adalah KBDYMM Sultan Johor yang menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap pemimpin parti politik yang sentiasa memberikan tekanan untuk merebut kuasa dengan cara yang sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran kerajaan.”

“KDYMM Pemangku Raja Pahang juga turut menzahirkan perkara yang hampir sama di mana sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.”

“Hentikan pergeseran merebut kuasa,” ujar Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button