Tempatan

Hentikan Pembinaan Zoo! – CAP

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

 

GEORGETOWN, 20 Ogos 2022 – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar pihak yang berkenaan berhenti membina lebih banyak zoo susulan daripada pembinaan zoo baharu di atas tanah seluas 20.2 hektar di Iskandar Puteri, Johor Darul Ta’zim.

Malaysia perlu berhenti membina lebih banyak zoo, tetapi sebaliknya menumpukan pada penambahbaikan zoo sub-standard untuk memastikan ia memenuhi standard perumahan, penternakan, kebajikan dan kesihatan yang tepat untuk semua haiwan tahanan.

Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, secara amnya, objektif pembinan zoo adalah untuk menjadikannya sebagai salah satu daya tarikan buat pelancong dan idea itu seharusnya dibuang kerana kebanyakkan pertubuhan haiwan ini sama sekali tidak mengetahui tentang cara penjagaan hidupan liar yang betul dan ia akan menyebabkan hidupan tersebut menderita.

Kepercayaan bahawa penubuhan zoo baharu ini akan berjaya menarik lebih dari 80% pelawat dari komuniti sekitar dan lebih dari separuh pengunjung yang kerap membuat lawatan semula, meleset sama sekali kerana pelawat yang gemar datang kembali hanya akan datang dari semasa ke semasa. Maka, hal ini akan memberikan kesan buruk kerana kutipan pintu masuk dan keadaan zoo juga akan merosot.

“Walaupun mereka mengaku prihatin terhadap haiwan, zoo boleh digambarkan dengan lebih tepat sebagai “pengumpul” haiwan yang menarik daripada sebagai tempat perlindungan atau rumah sebenar. Zoo berbangga dengan koleksi beberapa spesies eksotik tanpa memikirkan ruang, (yang) sering tidak mencukupi dan kekurangan dalam banyak pertubuhan sedemikian.”

“Ahli politik dan penyokong zoo tidak seharusnya melihat zoo sebagai tempat untuk berhibur dan sebaliknya perlu menangani persoalan sama ada zoo patut wujud atau tidak dan sama ada kewujudan zoo memberi sebarang matlamat. Perkara yang perlu ditekankan di zoo dan semua pertubuhan zoologi iaitu zoo mini, taman ular, kandang burung, ladang ular dan taman rama-rama ialah piawaian kebajikan haiwan hampir tidak dipenuhi serta sering mendapat kritikan orang ramai,” ujarnya.

Tambah beliau, zoo dibina terutamanya untuk keselesaan pengunjung dan bukannya untuk keselesaan haiwan. Menempatkan haiwan dalam persekitaran yang tidak sesuai dengan spesies boleh menyebabkan masalah tekanan dan tingkah laku.

“Haiwan kurungan di zoo diperhatikan telah mengalami sindrom zoochosis kerana dipisahkan dari habitat semula jadi, kekecewaan, kebosanan, kekurangan kehidupan dalam kumpulan sosial biasa dan tingkah laku stereotaip yang lain,” menurut kenyataan CAP yang percaya bahawa hidupan liar ini tidak boleh disimpan sama sekali jika keperluan mereka tidak dapat dipenuhi.

“Dengan lebih dari 14 buah zoo dan 20 pusat pameran hidupan liar kekal di Semenanjung Malaysia dan satu lagi akan datang, itu semua sudah memadai!” tegas Mohideen Abdul Kader.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: