Hentikan Ekploitasi Hutan Simpan Kekal – Aktivis
KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 – Kerajaan melalui kerajaan negeri perlu mengelakkan tiga trend eksploitasi dan pemusnahan kawasan berhutan, kata Aktivis Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman.
Katanya, perkara ini sudah lama dibangkitkan dan diketengahkan dari semasa ke semasa oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama SAM seawal tahun 1970-an lagi.
“Pelbagai langkah yang harus diambil oleh kerajaan terutama semua kerajaan negeri untuk mengatasi perkara ini.”
“Antaranya, tidak lagi meluluskan pembangunan ladang monokultur atau lebih dikenali sebagai ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) selain juga tidak lagi meluluskan lain-lain aktiviti dalam HSK seperti perlombongan atau pengkuarian dan pertanian.”
“Selain itu, kerajaan negeri juga harus tidak lagi meluluskan pemansuhan (penyahwartaan) sama ada sebahagian atau keseluruhan kawasan yang berstatus HSK.”
SAM juga menggesa Kerajaan Negeri untuk mewartakan kawasan hutan semula jadi yang dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 dan 2 (KSAS Tahap 1 dan 2) yang masih berstatus Tanah Kerajaan sebagai HSK.
Terdahulu, pemerhati alam sekitar, RimbaWatch mendakwa sebanyak 2.4 juta hektar berada dalam ancaman hutan balak iaitu kira-kira sebesar saiz gabungan Johor dan Negeri Sembilan.
NGO itu berkata, sekiranya penebangan hutan itu berlaku, litupan hutan Malaysia akan berkurangan di bawah 50 peratus daripada keluasan tanah di bawah litupan hutan dan pokok dalam negara.