Antarabangsa

Henti Trend Hukum Ulama’ Saudi Oleh Jentera Kerajaan Saudi – Pertubuhan-Pertubuhan Hak Asasi Manusia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ARAB SAUDI, 25 September 2022 – Seramai 30 individu dengan kerjasama 12 pertubuhan hak asasi manusia telah melancarkan sebuah kempen mengecam dan menggesa badan kehakiman Saudi menghentikan trend menghukum para ulama’ di negara Islam itu.

Antara individu dan pertubuhan yang menyertai kempen tersebut adalah Dr Saeed Nasser Al-Ghamdi (Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Pertubuhan Sanad), Dr Saad Rashid Al-Faqih (Ketua Gerakan Reformasi Islam), Abdul Hakim Abdulaziz Al-Dakhil, seorang aktivis Saudi, Persatuan Ulama Islam dan Pusat Demokrasi dan Hak Asasi Manusia di Arab Saudi.

Menerusi sebuah kenyataan, kempen tersebut dilancarkan bagi menentang siri hukuman keras yang dikeluarkan oleh badan kehakiman Arab Saudi terhadap beberapa tahanan di negara itu termasuk ulama, pembela hak wanita, aktivis hak asasi manusia dan juga wartawan.

Selain itu, mereka bersepakat memberi amaran keras terhadap rejim Saudi yang bertindak melaksanakan hukuman mati terhadap para ulama dan tokoh terutamanya Dr Salman Al-Ouda, Dr Awad Al-Qarni, Dr Ali Al-Omari dan Dr Hassan Al-Maliki.

Tegas kenyataan tersebut, “Kami menekankan bahawa langkah ini yang tidak wajar dan tidak pernah berlaku sebelum ini adalah penentangan yang jelas terhadap keadilan, undang-undang dan perjanjian antarabangsa, serta merupakan provokasi terang-terangan bukan sahaja kepada masyarakat Saudi, tetapi untuk semua masyarakat Arab dan Islam dan semua orang di dunia yang percaya kepada kebebasan dan keadilan.”

Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, rekod hak asasi manusia Arab Saudi semakin teruk malah pada tahun 2017, rejim Saudi telah melancarkan kempen penangkapan sewenang-wenangnya secara berleluasa, sekali gus mengadakan serbuan keselamatan terhadap individu terhormat bagi menutup suara mereka serta mengehadkan kesan positif mereka terhadap masyarakat.

Penangkapan melampau ini menyasarkan sejumlah besar wartawan, penulis, cendekiawan, ahli akademik, aktivis, fuqaha dan juga pembela hak asasi manusia yang hanya menyatakan pandangan mereka di ruang media sosial dan juga giat dalam aktivisme bersifat damai.

Mereka terpaksa meringkuk di dalam sel penjara rejim dalam keadaan yang sangat teruk, di mana mereka telah melalui pelbagai jenis pencabulan seperti seksaan fizikal, kurungan bersendirian, kekurangan tidur, halangan untuk menghubungi keluarga, penafian perwakilan undang-undang serta banyak lagi pencabulan yang lain.

Justeru itu, mereka merayu kepada seluruh dunia, badan hak asasi manusia, masyarakat antarabangsa, individu yang percaya kepada keadilan dan keamanan, supaya memainkan peranan mereka untuk berhadapan dengan pencabulan besar-besaran yang diamalkan oleh rejim Saudi terhadap tahanan.

Mereka turut menyeru agar semua pihak berdiri bersama untuk menghalang rejim Saudi daripada menjatuhkan hukuman mati terhadap individu yang mempertahankan hak dan kebebasan di tanah Arab itu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: