Tempatan

Henti Salah Guna Jata Negeri Pahang – Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUANTAN, 28 Julai 2021 – Kerajaan Pahang melarang penggunaan lambang atau jata negeri itu.

Ini berikutan wujud penyalahgunaan jata kerajaan Pahang oleh pihak yang tidak berkenaan atau tidak bertanggungjawab.

Setiausaha kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, penyalahgunaan itu membabitkan di dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp serta penggunaan lambang di kenderaan dan lain-lain.

Oleh itu, beliau menegaskan agar perbuatan ini dihentikan serta-merta bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Penyalahgunaan ini hendaklah dihentikan dengan serta-merta berdasarkan enakmen.”

“Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 [Enakmen No. 18 Tahun 2017] telah memperuntukkan larangan penggunaan tidak wajar lambang, gelaran atau anugerah Negeri Pahang.”

“Ia termasuklah Jata Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Jata Diraja Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Jata Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.”

Tambah beliau lagi, “Subseksyen 3(1) Enakmen No. 18 Tahun 2017 memperuntukkan bahawa walau apa pun peruntukan dalam mana-mana undang-undang bertulis, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.”

“Menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya, bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan, profesion atau apa-apa tujuan sosial atau persendirian.”

“Membuat, menempah, menghasilkan dalam apa-apa bentuk atau cara atau menggunakan atau terus menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah atau apa-apa replika mengenainya dalam tajuk apa-apa paten atau apa-apa cap dagangan atau reka bentuk.”

“Membuat bagi maksud jualan atau menjual atau mempamer untuk jualan atau memiliki untuk dijual, apa-apa lambang, gelaran atau anugerah.”

Dan, “Mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan.”

Justeru, mana-mana orang yang melanggar larangan penggunaan tidak wajar lambang negeri Pahang boleh didakwa dan dikenakan hukuman di bawah subseksyen 3(2) Enakmen No. 18 Tahun 2017.

“Apabila disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” tegas Datuk Seri Dr Sallehuddin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: