Hasutan Kebencian Menjadi-Jadi Di India, Ia Harus Dihentikan – Hakim Mahkamah Agung
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
INDIA, 11 Oktober 2022 – Hakim Mahkamah Agung India mengarahkan agar menghentikan hasutan kebencian yang mencemarkan negara berkenaan, lapor sebuah portal berita perundangan India.
Ketua Hakim India (CJI), UU Lalit dan Hakim, S Ravindra Bhat membuat kenyataan tersebut sewaktu mendengar pengakuan yang mendakwa tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa Kerajaan terhadap hasutan sedemikian.
“Anda betul bahawa seluruh suasana semakin tercemar dengan hasutan-hasutan kebencian dan ia perlu dihentikan,” kata para hakim itu.
Menurut pihak pempetisyen, Harpreet Mansukhani, hasutan kebencian yang diucapkan adalah bertujuan untuk menjadikan India sebagai Bangsa Hindu (Hindu Rashtra) sebelum pilihan raya umum menjelang 2024 nanti.
“Hasutan kebencian telah bertukar menjadi perniagaan yang menguntungkan. Sebuah parti membiayai Kashmir Files dan saya mempunyai bukti bagaimana ia dibiayai dan kemudian bebas cukai,” katanya.
Harpreet turut mendakwa bahawa dia telah memetik pengakuan daripada pemimpin kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang mendakwa bahawa minoriti dibunuh.
Sehubungan dengan arahan Ketua Hakim yang memerlukan latar belakang fakta dan beberapa sampel kes, pempetisyen akan memfailkan afidavit yang memetik contoh hasutan kebencian dan sama ada jenayah didaftarkan atau tidak.
Kes tersebut bagaimanapun ditangguhkan hingga 1 November.
Sejak kebelakangan ini, hasutan kebencian di negara India kian berleluasa di mana sebelum ini, Ketua Hindutva, Yati Narsinghanand menyeru agar madrasah diletupkan kerana dakwanya ia tidak sepatutnya wujud. https://www.samudera.my/madrasah-tidak-sepatutnya-wujud-ketua-hindutva-seru-letupkan-madrasah/
Lelaki itu juga menyeru untuk memboikot Muslim dan mengarahkan pengikutnya untuk tidak memberikan sebutir gandum mahupun sekeping roti kepada orang Muslim serta tidak membenarkan pengikutnya untuk mengambil Muslim bekerja.
Selain itu, seorang pemimpin Hindutva juga turut melemparkan tohmahan jahat bahawa al-Quran merupakan buku jenayah yang memerintahkan umat Islam untuk membunuh orang dengan kejam melalui cara merejam dan memenggal kepala. https://www.samudera.my/hina-quran-pemimpin-hindutva-dakwa-quran-buku-jenayah/
Samudera.my sebelum ini pernah melaporkan terdapat tiga negara utama yang mencatatkan hantaran anti Muslim tertinggi di halaman sosial Twitter dan India merupakan salah satu daripadanya.