‘Harley Quinn’ Mati Terkena Tembakan Ketika Melarikan Banduan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ALABAMA, 11 Mei 2022 – Vicky White, 56, seorang bekas pegawai penjara di Alabama, Amerika Syarikat (AS), menemui penghujungnya apabila dia mengambil nyawanya sendiri pada Isnin baru-baru ini.
Vicky menimbulkan tanda tanya apabila dia yang dahulunya merupakan seorang pegawai penjara bertindak di luar jangkauan minda apabila dia meloloskan Casey White, 38, seorang banduan ganas dengan kisah lampau yang menggerunkan.
Mengapa seorang Penolong Pengarah Bahagian Pemulihan sepertinya tiba-tiba sanggup untuk bukan sahaja meloloskan Casey, bahkan menyertai penjenayah tersebut di dalam pelariannya?
Situasi seakan-akan filem ini bermula pada 29 April apabila keheningan penjara Lauderale County dikejutkan dengan deruan siren yang melaungkan khabar kehilangan Casey, banduan setinggi 2 meter.
Jejak Casey dan Vicky ditemukan di Tennessee pada awalnya, di mana kereta yang mereka gunakan untuk melarikan diri ditemui terbiar. Namun, ‘pasangan ganjil’ tersebut masih tidak dapat ditemukan.
Lapor APNews , episod ‘pengembaraan’ pasangan tersebut berakhir apabila pegawai siasatan menerima maklumat awam yang mendapati sesosok tubuh seakan-akan Casey dikesan di kawsasan Indiana.
Sebuah adegan kejar-mengejar kemudiannya berlaku, di mana kenderaan Casey terbabas sekaligus mengakibatkan kecederaan ringan ke atasnya, manakala Vicky pula bertindak menembak dirinya sendiri, sekaligus membawa kepada kematiannya.
Casey White merupakan seorang penjenayah yang dijatuhkan hukuman penjara 75 tahun atas cubaan membunuh dan beberapa pertuduhan lain. Casey juga masih dalam proses perbicaraan atas pertuduhan menikam seorang wanita 58-tahun dalam sebuah rompakan pada tahun 2015.