Tempatan

Hari Wilayah : YDPA Zahirkan Penghargaan Kepada Seluruh Rakyat

KUALA LUMPUR – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2021 kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana rakyat Malaysia sekali lagi diberi kesempatan menyambutnya.

Hari Wilayah Persekutuan tahun ini yang bertemakan “Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin” disambut dengan norma baharu serta rakyat sekali lagi berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sesuai dengan tema Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk menghayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain. Prihatinlah terhadap keluarga kita, sahabat kita, jiran kita, pekerja kita dan semua insan yang berada di sekeliling kita.”

“Seri Paduka Baginda juga menasihati rakyat untuk menunaikan tanggungjawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi memastikan keharmonian terpelihara dan kekal berpanjangan,” ucap Datuk Ahmad Fadil.

Tambahnya, dengan semangat solidariti, kesepaduan dan daya ketahanan melawan wabak covid-19 ini, penghargaan turut dizahirkan Seri Paduka Baginda buat seluruh rakyat khususnya petugas barisan hadapan.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat, khususnya para petugas barisan hadapan, yang telah menunjukkan semangat solidariti, kesepaduan dan daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi serta memerangi penularan wabak COVID-19.”

Selain itu, Seri Paduka Baginda juga berharap agar rakyat dapat terus beristiqamah dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan di samping tabah serta cekal menghadapi PKP serta darurat.

“Seri Paduka Baginda menasihati rakyat supaya terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi PKP serta pelaksanaan Proklamasi Darurat demi kepentingan dan keselamatan diri bersama serta negara. Sememangnya, dengan pelaksanaan PKP, Seri Paduka Baginda amat memahami cabaran yang dihadapi, khususnya aktiviti ekonomi harian rakyat yang terjejas akibat penularan COVID-19.”

Mengakhiri titah, Seri Paduka Baginda mengajak semua rakyat prihatin terhadap tanah air dan bersama mendoakan negara khususnya Wilayah Persekutuan bertambah makmur dan dilindungi dari sebarang musibah dan malapetaka.

“Prihatin jugalah kepada tanah air kita. Jagalah keharmoniannya, pertahankanlah keamanan, peliharalah kesejahteraannya. InsyaAllah, Wilayah Persekutuan dan negara yang tercinta ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat selama-lamanya.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button