Tempatan

Hari Ini Solat Jumaat Terakhir Di 228 Surau Di Melaka

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JASIN, 12 Ogos 2022 – Hari ini adalah Jumaat terakhir bagi semua jemaah di 228 surau di Melaka untuk sama-sama menunaikan solat Jumaat.

Ini kerana kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat di kesemua surau tersebut ditarik balik, berkuat kuasa 19 Ogos ini.

Menurut Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil, keputusan itu diambil setelah dipersetujui kerajaan negeri menerusi mesyuarat EXCO pada 3 Ogos lalu.

Katanya, bermula 19 Ogos ini, semua jemaah kariah surau berkenaan hendaklah menunaikan solat Jumaat di masjid kariah masing-masing.

“Kebenaran kepada surau berkenaan sejak dua tahun lalu itu berikutan penularan wabak COVID-19, yang menyekat aktiviti solat secara merapatkan saf.”

“Namun, selepas negara melaksanakan peralihan ke fasa endemik, kita membuat keputusan untuk membatalkan kebenaran itu,” katanya ketika ditemui selepas menjadi panel Forum Kesedaran Derma Organ sempena Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Dewan Alamanda pada Khamis lalu.

Jelasnya, keputusan itu juga dibuat berdasarkan justifikasi bahawa ruang masjid kariah masih boleh menampung kapasiti jemaah dalam satu-satu masa.

“Keputusan ini adalah selari dengan kaedah ‘fiqh’ bahawa apabila darurat menimpa seseorang atau jemaah, jika beramal dengan hukum asal yang disyarakkan dalam keadaan biasa akan menyulitkan dan membebankan mereka untuk melaksanakannya, maka kerana itu diberi keringanan dan kemudahan ke atas mereka selagi mana darurat itu masih wujud.”

“Akan tetapi apabila hilang darurat berkenaan, nescaya kembali hukum kepada asal ia disyariatkan.”

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar masjid dapat diimarahkan semula, sekali gus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat melalui pembabitan bersama dalam aktiviti masjid.

Di kesempatan itu juga, beliau mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri dan kerajaan negeri berterima kasih kepada semua surau yang sudah mengambil tanggungjawab mendirikan Jumaat walaupun secara sementara bagi membolehkan ramai umat Islam di negeri ini mendirikan ibadah itu dalam tempoh penularan COVID-19.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: