Antarabangsa

Hargai Sumbangan Palestin, Majlis Bandaraya Paterson Guna Nama Palestine Way

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PATERSON, 20 Mei 2022 – Ribuan komuniti Palestin di Paterson, New Jersey, Amerika Syarikat baru-baru ini bersama-sama meraikan detik gembira selepas sebuah jalan di bandar itu dinamakan dengan nama “Palestine Way”.

TRT World melaporkan, penamaan semula jalan di kawasan itu adalah bagi menghargai sumbangan komuniti Palestin terhadap bandar tersebut termasuklah kehidupan sosial, bisnes dan penjagaan kesihatan.

Penamaan semula yang melibatkan lima blok bahagian Main Street dari Gould Avenue hingga ke Buffalo Avenue itu berlaku selepas Majlis Bandaraya Paterson sebulat suara mengundi untuk menukarnya, lapor northjersey.com.

Ujar Pengarah Eksekutif Pusat Komuniti Amerika Palestin, Rania Mustafa, keputusan untuk menamakan semula jalan itu adalah bagi memerangi penghapusan identiti Palestin.

“Kami melihatnya sebagai kemenangan simbolik, kami membuat orang ramai mengiktiraf bahawa Palestin wujud, bahawa ini adalah sumbangan yang telah dilakukan oleh masyarakat Palestin dan mengiktirafnya dalam kapasiti rasmi dan kekal.”

Paterson ialah bandar ketiga paling ramai penduduk di New Jersey. Ia juga menjadi tuan rumah sebilangan besar orang Arab. Dianggarkan terdapat seramai 20,000 orang berketurunan Palestin yang tinggal di bandar itu.

Leave a Reply

Back to top button