Harga Minyak RON95 Dijangka Naik Berperingkat Akhir Tahun Ini
KUALA LUMPUR, 31 Mei 2023 – Penganalisis PublicInvest Research, Sabrina Edora, menjangkakan harga RON95 bakal mencecah kira-kira RM3.22 seliter jika tanpa subsidi petrol berbanding RM2.05 seliter ketika ini.
Menurut laporan, harga siling subsidi untuk RON95 dan diesel, yang kini ditetapkan masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, mungkin tertakluk kepada semakan dan berpotensi meningkat secara beransur-ansur kemudiannya pada akhir tahun ini.
BACA JUGA: El Nino Semakin Memburuk Di Malaysia
BACA JUGA: Denggi: KKM Laksana Pelepasan Nyamuk Aedes Wolbachia Seluruh Negara
BACA JUGA: Krisis Gula Berakhir Jun Ini
Ujar Sabrina lagi dalam satu nota penyelidikan, “Selain itu, kami menganggarkan bahawa penghapusan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan meningkatkan inflasi sebanyak 0.45 hingga 0.75 mata peratusan tambahan setiap tahun.”
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan diesel tahun depan, dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini.
“Kabinet sudah bincang isu subsidi bersasar RON95 dan diesel yang akan dilaksanakan tahun depan. MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) sudah dimaklumkan, segera teliti semua data daripada pelbagai agensi kerajaan supaya dapat disepadukan dengan sistem PADU yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.”
“Ia bagi selaras semua data pelbagai agensi kerajaan yang ada. Apabila kita kuat kuasakan subsidi bersasar ini, kita akan pastikan ia benar-benar tepat sasarannya, tiada ketirisan. Itu yang kita harapkan,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.