Tempatan

Harga Lembu Korban Terpaksa Dinaikkan Kerana Dedak- Syarikat Korban

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEREMBAN, 21 Mei 2022 – “Kami terpaksa menaikkan harga haiwan korban tahun ini sebanyak 10 peratus. Ia berikutan ada dedak yang digunakan mengalami kenaikan harga iaitu sebelum ini dijual pada harga RM55.50 bagi seguni 50 kilogram kepada RM64,” kata Pengurus Pemasaran KRS Agrotech Sdn. Bhd., Mohammad Yusoff Khalili Mohammad Ssunaibari.

Ujarnya lagi menurut portal Utusan, “Seekor lembu korban pada tahun ini dijangka dijual pada harga RM5,250 dan kambing seekor pada harga RM1,200 berbanding RM900 ke RM1,000 sebelum ini berdasarkan kepada saiz biasa.”

Selain Mohammad Yusoff Khalili, beberapa pengusaha ternakan di daerah Seremban juga menyatakan perkara yang sama.

Menurut mereka, peningkatan harga lembu korban sekitar 10 peratus berbanding sebelum ini memang tidak dapat dielakkan.

Ini kerana kenaikan harga dedak menyebabkan kos penternakan ditanggung mereka turut meningkat.

Bukan sahaja pembeli, golongan penternak juga turut sama terbeban dengan kenaikan ini.

Sebelum ini, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohammad Yusrizal Yusoff pernah mengeluarkan kenyataan menjangkakan harga daging akan meningkat disebabkan harga dedak naik harga.

Kerana itulah CAKE menggesa pihak Kerajaan untuk mengambil cakna tentang isu kenaikan harga dedak kerana ia boleh menyebabkan para peniaga dan penternak terpaksa menaikkan harga daging.

Baru-baru ini pula, sumber dalaman industri mendedahkan kepada Utusan Malaysia, terdapat sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes terhadap Kerajaan kerana lambat melakukan pembayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Ujar sumber dalam itu, beliau percaya niat mereka adalah untuk boikot kerajaan, pengguna dan pihak lain.

“Alasan mereka lakukan itu juga adalah kerana kos dedak dan anak ayam yang semakin meningkat serta kelewatan bayaran subsidi.”

Leave a Reply

Back to top button