Harga Ikan Naik Mendadak Menjelang Musim Tengkujuh
KUALA TERENGGANU, 09 November 2023 – Harga beberapa jenis ikan dilaporkan telah mula naik mendadak sejak awal minggu ini menjelang musim tengkujuh.
Seorang peniaga di Pasar Cabang Tiga, Abdul Rahman Ali, 44, berkata, peniaga bukan sesuka hati menaikkan harga ikan tetapi kerana memperolehnya dengan harga yang tinggi daripada pembekal.
“Kenaikan harga ikan berlaku berikutan kita menghampiri musim Monsun Timur Laut (MTL) dan bekalan ikan semakin berkurang.”
“Sebelum ini ikan selayang dijual antara RM6 hingga RM7 sekilogram (kg), namun sekarang naik kepada RM10/kg.”
“Harga sotong juga berlaku kenaikan daripada RM32 kepada RM38/kg. Bagaimanapun, ikan aya masih lagi stabil antara RM8 hingga RM10/kg.”
Tinjauan turut mendapati harga ikan kembung dan ikan selar naik mencecah RM20/kg berbanding RM15/kg sebelum ini.
Malah harga ikan kerisi turut dijual RM18/kg berbanding RM13 hingga RM14/kg bergantung pada saiz.
Seorang lagi peniaga ikan, Zakaria Abdullah, 40, berkata, mereka juga menjangkakan akan berlaku kemasukan ikan sejuk beku diimport dari negara jiran selepas nelayan tempatan tidak dapat turun ke laut.
“Apabila tibanya MTL, kebanyakan nelayan bot-bot kecil tidak dapat ke laut menangkap ikan sekaligus berlaku kekurangan bekalan ikan seterusnya meningkatkan harga sedia ada,” ujarnya.