Harga Getah Merudum Teruk, Pekebun Tidak Sanggup Teruskan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PEKAN, 30 September 2022 – Berikutan harga getah merundum teruk kepada paras RM2.30 hingga RM2.40 sekilogram, ramai pekebun tidak sanggup meneruskan tanaman getah sebagai sumber pendapatan.
Akid Huat, 64, berkata, akibat harga yang tidak pernah stabil, kebanyakan pekebun kecil sudah beralih kepada tanaman kelapa sawit yang lebih menguntungkan.
“Saya berbual dengan ramai rakan di luar negeri ini yang berpendapat sama iaitu ladang sawit lebih lumayan berbanding getah. Ada 10 pokok sawit belakang rumah pun itu sudah duit, tapi tiada apa bagi 10 batang pokok getah.”
Jelasnya, komoditi kelapa sawit lebih menguntungkan apabila mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan untuk 2.42 hektar ladang berbanding RM1,200 bagi keluasan sama untuk kebun getah.
“Melihat kepada situasi sekarang, industri getah ini dijangka kekal ‘suram’ lagi 15 tahun jika tiada lagi orang mengusahakan kebun getah,” tambahnya.
Perkara ini turut dirasai bekas penoreh Remah Jaafar, 74, berkata, dahulunya semua 300 penduduk di sini adalah pekebun getah, namun kini lebih 80 peratus bertukar kepada kelapa sawit
Baginya, ketiadaan pewaris dan minat generasi muda untuk menoreh cukup membimbangkan terutama kepada pengeluaran getah negara pada masa akan datang.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Tasik Mentiga, Joheng, 62, memaklumkan klon pokok getah sekarang kurang berkualiti jika dibandingkan dengan klon 600 yang dikeluarkan sekitar tahun 1987.
“Pada saya klon 600 adalah terbaik, sekarang sudah tiada pokok klon ini. Walaupun pada peringkat awal susu dihasilkan kurang, tapi apabila matang, susu banyak. Pokok klon ini juga paling tahan penyakit, mati tetap mati tapi ia boleh bertahan sehingga 26 tahun.”
“Klon sekarang (klon 350), sukar untuk dijangkakan. Hari ini toreh, dua ke tiga minggu susu susu sudah kering. Jangka hayatnya tidak menentu tapi tidak lama, ada setahun pun pokok sudah mati,” katanya.
Sebelum ini, samudera.my pernah melaporkan kesengsaraan pekebun getah yang tidak berubah walaupun pasaran getah Malaysia telah berjaya menembusi pasaran aeroangkasa.
Rata-rata pekebun meluahkan rasa kesal dengan Kerajaan yang sehingga kini tidak berjaya menyelaraskan harga lantai getah.