Harga ‘Cekik Darah’ Kedai Makan, Pihak Berkuasa Harus Bertindak
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 18 Ogos 2022 – Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George menyeru agar Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan pihak berkuasa untuk melakukan operasi terhadap peniaga kedai makan yang berdegil untuk menurunkan harga jualan seiring dengan penurunan harga barang.
Katanya, pihak berkuasa harus bertindak terhadap isu berkenaan supaya tiada caj yang melampau dikenakan juga sebagai tanda betul-betul melawan terhadap kenaikan harga yang melampau itu.
Menurut beliau, perubahan dasar mahupun penurunan harga bukanlah langkah penyelesaian sekiranya masih terdapat pihak yang berdegil dan terus menekan pengguna.
“Apa gunanya dasar baharu dan menurunkan harga? Sekiranya masih ada pihak yang sewenang-wenangnya menaikkan harga serta tamak dalam mendapatkan keuntungan semata-mata,” katanya.
Justeru, beliau menyeru pihak Kerajaan agar mengeluarkan syarat serta amaran keras terhadap peniaga-peniaga sebagai tanda menentang terhadap kenaikan harga dan gesaan supaya mereka meletakkan harga yang berpatutan buat pengguna.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi turut mencadangkan agar pengguna menggunakan ‘kuasa’ mereka seperti mana mereka menentang kenaikan harga ayam sebelum ini.
“Sekiranya pengguna mendapati harga kedai makan itu terlampau mahal dan mereka tidak mahu menurunkan harga, jadi jangan pergi ke sana atau berhenti seketika. Kita ajar peniaga itu dengan kuasa pengguna.”
“Pengguna boleh menentukan turun naiknya harga sesuatu barangan atau perkhidmatan. Seperti dahulu pengguna menularkan kedai-kedai yang mengenakan caj mahal dan akhirnya kedai makan itu sendiri menerima padah,” jelasnya.
Samudera.my sebelum ini pernah melaporkan, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa menggesa peniaga terutamanya penjual makanan untuk menurunkan harga jualan dan diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan atas kenaikan harga barangan yang bersifat sementara itu.
Terdahulu, negara ini berhadapan dengan kenaikan harga ayam yang dilihat ‘semakin mengarut’ apabila peniaga turut tidak mengendahkan pematuhan harga dan bertindak untuk menaikkannya sesuka hati sehingga diibaratkan seperti menindas pengguna.