Tempatan

Harga Barang Naik Buat Rakyat Malaysia Gemuk

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2022 – Kenaikan harga makanan yang berkhasiat akan meningkatkan kadar kegemukan di Malaysia, menurut Presiden Pertubuhan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Madya Dr. Geeta Appannah.

Faktor harga makanan mentah berkhasiat mahal menyebabkan orang ramai akan lebih cenderung untuk memilih makanan yang murah, menurutnya lagi.

Akan tetapi makanan yang murah kebiasaannya mempunyai kandungan gula dan lemak yang akan meningkatkan kalori dalam pemakanan sekaligus mengakibatkan obesiti atau kegemukan.

“Peningkatan harga menyebabkan pengambilan makanan ini berkurangan atau langsung tidak dimakan. Seterusnya ini akan menyebabkan saranan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan tidak akan tercapai.”

“Sedangkan sayur-sayuran dan buah-buahan adalah pembekal khasiat, vitamin, mineral, antioksidan dan serat yang penting dalam menghindari penyakit seperti obesiti,” katanya.

Fenomena ini adalah lumrah bagi masyarakat yang tidak berkemampuan dalam sesebuah negara dan perlu diambil berat oleh pihak kerajaan kerana ia berkemampuan untuk menjejaskan ekonomi mahupun pengurusan negara yang lainnya.

Rakyat yang gemuk boleh meningkatkan risiko kesihatan seperti darah tinggi, diabetes, penyakit jantung, kanser dan strok selain mengalami komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti oleh wabak COVID-19.

Beliau berkata, “Peningkatan obesiti dan penyakit-penyakit ini akan meningkatkan kos rawatan di hospital. Oleh kerana kerajaan memberi subsidi yang tinggi untuk kos rawatan di hospital, ini akan menyebabkan kerajaan mengagihkan bajet yang tinggi untuk menampung kos rawatan ini.”

“Sekiranya kita dapat mengurangkan kos rawatan ini, bajet ini boleh disalurkan kepada inisiatif-inisiatif lain seperti menambah baik kemudahan di sekolah dan universiti, memastikan kemudahan lebih baik untuk rakyat dan sebagainya.”

Rakyat yang gemuk yang menghidapi penyakit kronik juga cenderung untuk mengambil cuti panjang kerana masalah kesihatan dan kurang produktif di tempat kerja berbanding pekerja lainnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: