Harga Barang Asas Naik, Palestin Diancam Kesempitan Bekalan Makanan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
TEBING BARAT, 10 Julai 2022 – Berikutan isu kenaikan harga makanan dan barangan asas, rakyat Palestin berada di ambang kesempitan untuk mendapatkan bekalan makanan sekali gus mendorong ribuan keluarga di bawah garis kemiskinan.
Menurut laporan Bank Dunia bertarikh 20 Jun, “Status pemakanan penduduk Palestin adalah membimbangkan, dengan kekurangan mikronutrien yang tinggi di kalangan golongan yang perlu pemakanan yang baik, seperti kanak-kanak di bawah umur lima tahun, wanita hamil dan wanita yang baru bersalin.”
Selain faktor peperangan antara Rusia-Ukraine, laporan Bank Dunia pada 9 Mei memaklumkan bahawa pandemik COVID-19 juga merupakan salah satu faktor terjejasnya kesejahteraan rakyat Palestin dan peningkatan golongan miskin di negara tersebut.
“Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada rakyat Palestin mengalami kesempitan bekalan makanan disebabkan wabak COVID-19 sahaja,” ujar Jawad Abu Saleh, penasihat Biro Perangkaan Pusat Palestin kepada Al-Monitor, agensi media Timur Tengah.
Tambah Jawad, kepungan ke atas Semenanjung Gaza dan kawalan zionis Israel terhadap 60 peratus tanah dan sempadan Tebing Barat juga merupakan punca kekurangan bekalan makanan apabila para petani dihalang untuk sampai ke tanah mereka.
Keadaan itu turut meletakkan ribuan keluarga di bawah garis kemiskinan apabila pencari nafkah kehilangan pekerjaan atau berhenti mendapat gaji, ujar Jawad.
Tegas beliau, sekiranya harga terus meningkat dan perang Rusia-Ukraine berterusan, bilangan keluarga Palestin yang menghadapi masalah kekurangan makanan juga akan berganda.
Menurut tinjauan yang dibuat oleh agensi media Watan, 50 peratus keluarga Palestin terpaksa mengurangkan perbelanjaan, 22 peratus terpaksa menjual harta mereka, manakala 21 peratus terpaksa mencari kerja sampingan bagi menjamin perbelanjaan keluarga.