Tempatan

Harga Ayam Melaka Naik RM9.70 Sekilogram Bermula Hari Ini

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MELAKA, 11 Mei 2022 – Bermula hari ini, semua pembeli ayam potong segar di Melaka akan terpaksa membayar harga ayam sebanyak RM9.70 sekilogram susulan upah potong dinaikkan daripada 60 sen kepada 80 sen.

Ini menjadikan harga siling runcit RM8.90 sekilogram ayam standard yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga 5 Jun ini meningkat kepada RM9.70.

Malaysia Gazette melaporkan, rata-rata peniaga sepakat untuk menaikkan upah potong sebanyak 20 sen menjadi 80 sen berbanding 60 sen sejak 9 April lalu selepas rata-raya peniaga ayam di negeri itu telah mengenakan kadar RM1 sekilogram bagi perkhidmatan memotong ayam.

“Kalau ikutkan kita masih patuh dengan harga siling runcit RM8.90 yang ditetapkan, cuma kami akan naikkan upah potong itu daripada 60 sen sebelum ini kepada 80 sen,” kata penjual ayam di Pasar Awam di Bachang Melaka, Ghazali Abu Bakar.

“Lagipun, tempat lain banyak yang dah kenakan caj RM1 untuk potong ayam, jadi kami kenakan upah yang lebih rendah dan terpulang kepada pelanggan sama ada mahu beri kami upah, atau bawa pulang seekor ayam pada harga siling.”

Seorang lagi peniaga ayam, Hamzah Osman, berkata, upah yang dikenakan itu merupakan salah satu cara untuk memastikan tidak berlaku krisis bekalan ayam sekiranya peniaga terpaksa menanggung kerugian.

Upah itu juga dilihat mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara peniaga dan pelanggan dan pada masa sama mematuhi harga kawalan yang ditetapkan.

“Memang menjadi harapan kita untuk tak mahulah harga ayam ini naik sampai RM10 sekilogram,” ujarnya.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka, Norena Jaafar, kenaikan caj upah itu tidak menjadi kesalahan dan pihaknya tiada halangan untuk peniaga berbuat demikian, lapor Malaysia Gazette lagi.

“Tak salah sebab peniaga masih patuh pada harga siling runcit, tapi kalau pelanggan nak lebih mudah mereka boleh minta peniaga potong dengan upah dengan khidmat tambahan pada harga yang dipersetujui.”

“Jadi ia terpulang kepada pengguna sama ada nak beli pada harga siling atau bayar upah yang mungkin dirasakan akan memudahkan mereka,” kata Norena.

Sebelum ini, seorang penjual ayam di Pasar Besar Jerantut, menggesa Kerajaan untuk mengkaji semula harga kawalan RM8.90 ayam yang didakwa tidak lagi relevan berikutan harganya dari ladang dan borong juga sudah naik.

“Kerajaan perlu menilai semula harga kawalan ini atau mengkaji mekanisme dalam melaksanakan harga kawalan ini agar ia tidak merugikan pelbagai pihak sama ada pembekal atau penternak, pemborong, peniaga mahupun pembeli,” kata Mohd. Fikri Kamarudin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: