Harga Ayam Makin Mengarut, Peniaga Naikkan Harga Sesuka Hati
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 21 Jun 2022 – Harga ayam ‘semakin mengarut’ apabila peniaga tidak lagi mengendahkan pematuhan harga serta bertindak menaikkannya sesuka hati melebihi kadar siling yang ditetapkan.
Lapor Utusan, menurut sumber dari industri terbabit, peniaga sudah tidak mengambil endah tentang harga barangan kawalan itu apabila ia mula dijual melebihi harga siling, RM8.90 kepada harga RM10.40 hingga RM11.50 sekilogram.
“Harga sekarang pun dah naik tanpa mengikut harga kawalan. Rata-rata peniaga di pasar pun sudah menjual dengan harga RM10.40 hingga RM11.50 sekilogram,” ujar sumber berkenaan kepada pihak Utusan.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan di mana pemain-pemain gergasi industri ayam mula membuat pengumuman akan menaikkan harga ayam di pasaran bermula Julai ini secara terbuka sekaligus menghangatkan kembali keadaan.
Tambahan lagi, pemain-pemain gergasi tersebut menggunakan pelbagai alasan demi ‘menghalalkan’ tindakan mereka untuk menaikkan harga ayam di pasaran.
“Pelbagai alasan pasti diberi, antaranya pasti mengenai subsidi, masalah dedak ayam, kekurangan pekerja, anak ayam sakit dan sebagainya lagi.”
“Harga akan meningkat hingga mencapai sasaran mereka iaitu ayam akan dijual dengan harga RM12 untuk sekilogram. Jika seekor mampu mencecah RM24,” tambah sumber berkenaan.
Pengasas Nafas Food Processing and Marketing Sdn. Bhd turut mengatakan bahawa tindakan pemain-pemain gergasi ini membuktikan bahawa industri itu masih dalam cengkaman pihak swasta yang menunjukkan ‘besar kepala’ mereka.
Katanya, tindakan menaikkan harga tersebut seperti menindas pengguna sedangkan pemain industri ayam terus mengaut keuntungan.
Malah, beliau mendakwa pihak Kerajaan seperti tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menstabilkan harga demi kepentingan pengguna biarpun pelbagai pendedahan telah dilakukan oleh pihak media berkenaa kegiatan pemain industri ayam ini.
Baru-baru ini, Datuk Alexander Nanta Linggi pernah mengingatkan pemain industri agar tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ayam dengan tidak meninggikan harga sewenang-wenangnya.