NGO

Harapan Akhir Rakyat & Keterlibatan Suara Institusi Diraja Dalam Krisis Negara – NAJM

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

1. Di antara peranan NAJM di persada kegiatan aktivis bebas dalam negara ialah “Menyemak isu-isu utama dan isu-isu kunci tentang keseluruhan suasana dan suhu perkembangan politik, sosial dan ekonomi semasa dalam negara yang mempengaruhi rakyat secara umum dan khusus dengan tumpuan kepada kesan mutakhir dalam negara ke atas orang Melayu dan Agama Islam.”

Ini merupakan salah satu daripada peranan yang pengasas NAJM fikirkan mustahak setelah mengambil kira suasana kepolitikan negara sejak pilihan raya yang lepas.

2. Adalah sangat wajar ditekankan di sini bahawa apabila NAJM menyuarakan sesuatu pandangan itu, ia merupakan pandangan wanita yang merupakan sebahagian besar warga dalam negara dan sudah tentulah pandangan NAJM ini amat menyentuh kepada wanita kerana wanita itu merupakan nukleus dalam sesebuah keluarga sebagai “tangan yang menghayun buaian” dan sebagai insan yang dimuliakan agama dan adat Melayu “syurga itu di bawah telapak kaki ibu”.

3. Sehubungan yang sedemikian, NAJM, di beberapa ketika ini telah meneliti perkembangan yang menggusarkan yang sedang berlaku di kalangan anak-anak remaja kalangan pelajar lingkungan umur awal 20an dan remaja, terkait pandangan dan persepsi golongan muda ini terhadap peranan dan fungsi Institusi Diraja serta keterlibatan Institusi Diraja dengan keadaan semasa dalam negara menjurus kepada masalah ancaman kesihatan rakyat jelata akibat serangan pandemik Covid-19, program imunisasi rakyat umumnya dan golongan pelajar dan anak muda khususnya, ancaman terhadap daya tahan ahli keluarga terutamanya para ibu dan bapa menghadapi cabaran ancaman kesihatan yang teruk mengganggu kegiatan ekonomi mereka sama ada melalui pekerjaan tetap bulanan ataupun perniagaan kecil, atau besar, semuanya terkena tempias negatif ancamanpandemik Covid-19.

Kita boleh lihat keadaan semasa sudah berada dalam tahap kucar-kacir (chaos) dan keadaan ini semakin bertambah buruk bukannya bertambah baik.

4. Rata-rata didapati, rasa tidak puas hati timbul dengan ditambah kepada keadaan tidak stabil kerajaan di mana isu mengenai sidang Dewan Rakyat masih tidak berfungsi dan Parlimen digantung menambahkan kebimbangan dan gusar di kalangan warga anak watan.

5. Diperhatikan juga, ramai di kalangan rakyat termasuk golongan anak muda amat tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti bilakah Institusi Diraja kita khususnya DYMM YDPA akan mengeluarkan sebarang pernyataan yang boleh memberikan rasa reda dan tenang kepada rata-rata rakyat yang bimbang dengan keadaan sekarang ini.

Namun, yang dinanti tak kunjung tiba. Yang tiba ialah isu tentang perkara remeh-temeh yang membawa balah.

Antaranya isu Maeps dan beberapa lain yang terkait dengan DYMM Permaisuri Agong.

Rakyat menantikan kata-kata keprihatinan DYMM YDPA ataupun dari mana-mana kalangan ahli Institusi Diraja kita untuk menyuarakan keprihatinan mereka mengenai keadaan rakyat seperti harga barangan keperluan asas harian yang makin naik harganya seolah-olah tidak ada kawalan daripada kementerian yang bertanggungjawab sekarang.

Atau memberikan pandangan tegas terhadap perilaku menteri atau ahli politik yang memberi pengaruh negatif kepada kehidupan warganegara Persekutuan dari sudut keselamatan ataupun ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan khususnya hal kebajikan “frontliners” kita.

Perlu kita ingat, para frontliners ada keluarga masing-masing dan sudah pastinya golongan anak muda termasuk di dalamnya.

Pendek kata, rakyat menunggukan kata-kata “reassurance” daripada pemerintah tertinggi negara dan negeri bahawa: “Saya janji keadaan akan menjadi baik dan stabil”, dan inilah yang dinantikan. Siaran kata-kata yang melibatkan kepedulian mereka dengan keadaan rakyat dapat memberi kepastian kepada rakyat bahawa, “memang benarlah Raja dan Rakyat berpisah tiada”. Inilah harapan rakyat jelata terhadap Payung Negara.

6. Kita amat bimbang, dengan situasi yang wujud ini boleh menggugat perasaan kesetiaan kepada Raja dan Negara di kalangan golongan anak muda kita. Selain keadaan seperti ini boleh dimanipulasi oleh kumpulan tertentu yang agendanya bukan sahaja mencipta chaos tetapi juga mencipta ideologi yang bertentangan dengan Perlembagaan negara dan Rukunegara kita!

NAJM juga memerhatikan bahawa chaos akan tetap berlaku dalam keadaan sama ada Parlimen dibuka ataupun darurat sedia ada ini dilanjutkan melepasi bulan Ogos ini.

Pandangan ini timbul setelah meneliti kedudukan dan peranan yang dimainkan oleh ahli politik dan ahli Parlimen berpartian yang mana mereka ini adalah daripada kumpulan muka yang sama, agenda yang sama, tabiat yang sama dan matlamat yang serupa tiada beza di antara mereka langsung! Pi mai pi mai lagu tu juga.

7. Di dalam kedua-dua keadaan tersebut, tekanan terhadap YDPA dan Majlis Raja-Raja (MRR) tetap akan berlaku sama ada tekanan daripada pemain dan penggiat politik mahupun tekanan daripada golongan rakyat jelata dari pelbagai taraf sosial dan latar belakang ekonomi. Keadaan ini jika dibiarkan terus berkembang dibimbangi ia akan melarat kepada street unrest.

Pemantauan kami tentang percakapan-percakapan di platform media sosial menunjukkan perkara-perkara tersebut boleh berlaku dan adalah tidak mustahil ia boleh berlaku. Dan dalam keadaan tersebut, pihak yang paling teruk terjejas ialah Institusi Diraja itu sendiri.

8. Sebagai satu kumpulan yang amat sensitif dengan perkembangan seperti ini, NAJM amat mengambil berat akan persoalan solusi yang paling wajar dilaksanakan bagi mengekang keadaan yang sedang berlaku ini.

9. Dari itu, langkah yang paling wajar diambil ketika ini ialah YDPA bersama MRR memutuskan tanpa berlengah-lengah agar Parlimen dibubarkan, tidak ada pilihan raya umum dibuat dan negara hendaklah ditadbir sepenuhnya oleh satu jawatankuasa lantikan YDPA dari kalangan profesional, dibuat untuk satu tempoh masa yang tertentu sehinggalah keadaan ancaman ekonomi, kesihatan dan keselamatan dalam negara dapat dipulihkan sepenuhnya.

Sehingga keadaan pulih, barulah sistem pentadbiran dipulihkan kepada keadaan asal selepas pilihan raya diadakan.

Sesungguhnya langkah sebegini mampu membetulkan kompas hala tuju pentadbiran kenegaraan Malaysia selanjutnya memulihkan secara total dan menyeluruh semua perspektif keselamatan daulah, keselamatan perusahaan sumber makanan, keselamatan kesihatan, keselamatan industri dan ekonomi, keselamatan sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Pemeliharaan keutuhan dan kedaulatan Malaysia”, negara kita, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kesemua warganegara tidak kira kedudukan taraf dan status latar belakangnya.

Puan Azlinda Baroni
Teraju Baiduri
Angkatan Kebangsaan Kesaksamaan Malaysia National Alliance For Justice Malaysia (NAJM)

Mengenai NAJM
Sebuah gabungan Profesional wanita yang ingin membawa Malaysia ke arah Tanah yang aman, tenang dan seimbang.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button