Tempatan

Haram! Mufti Tegur Pasukan Kompang Melayu Sertai Festival Dewa Monyet

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 November 2022 – “Penglibatan umat Islam dalam perarakan sambutan “SUN WU KONG FESTIVAL PARADE” adalah dilarang menurut syarak,” tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dalam laman web Irsyad Al-Fatwa.

Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab satu pertanyaan berkenaan keterlibatan orang Islam dalam perarakan sambutan “Sun Wu Kong Festival Parade” yang diadakan di Jalan PSK 2, Seri Kembangan Selangor.

Menurut PMWP, penglibatan umat Islam dilarang kerana sambutan tersebut melibatkan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam, iaitu meraikan perayaan yang melibatkan sembahan orang bukan Islam terhadap tuhan selain Allah.

“Umumnya, Sun Wu Kong merupakan lagenda monyet yang sering diceritakan dalam kebanyakan karya Hikayat Klasik Cina. Menurut Journey to The West Research, Sun Wu Kong disembah di Selatan Cina, Taiwan dan beberapa kawasan sekitar Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam sebagai “Great Sage Equaling Heaven”. Dia juga mempunyai gelaran seperti “Patriark Buddha” dan “Victorious Fighting Buddha”,” jelas PMWP.

Tegas PMWP lagi, penglibatan umat Islam dalam perarakan atau majlis keagamaan adalah dilarang dalam syarak berpandukan kepada hadis daripada Ibnu Umar R.A bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

‘Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dalam kalangan mereka.’ (Riwayat Abu Daud (4031).

Bukan itu sahaja, penglibatan secara khusus dalam meraikan majlis keagamaan oleh umat Islam juga boleh diumpamakan sebagai redha dengan kemaksiatan yang dilakukan oleh mereka.

Oleh itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa umat Islam hendaklah sentiasa cakna dan peka terhadap sesuatu perkara terutama apabila melibatkan perkara-perkara akidah.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan pasukan kompang dianggotai belia Melayu menyertai perarakan Sun Wu Kong Festival Parade.

Gambar-gambar aksi Kelab Kompang Jiran Muda Komuniti Rukun Tetangga Apartment Desa Tasik Fasa 6 itu mengundang pelbagai reaksi, malahan perarakan yang dianjurkan Sun Sheng Tang Lion Dance sejauh lapan kilometer di Seri Kembangan, Selangor itu menerima kritikan ramai pihak kerana ada elemen agama lain, lapor sebuah portal tempatan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: