Hapuskan Sistem Pencen Menteri, Ahli Parlimen Yang Bertingkat – MUDA
MUAR, 04 Ogos 2023 – Penerimaan pencen bagi ahli politik dilihat tidak adil kepada penjawat-penjawat awam yang sememangnya layak, kata Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut beliau, ahli politik bukan sahaja menerima pencen menteri sahaja tetapi sebaliknya menerima pelbagai pencen lain.
BACA JUGA: Menteri PKR Berucap Di Masjid, JAIS Masih Siasat
BACA JUGA: Pencemaran Bau: Murid, Guru Dan Pekerja Kantin Muntah, Pening
BACA JUGA: Melaka Umum Bantuan Khas Penghargaan RM300 Buat Penjawat Awam Negeri
“Saya datang dari keluarga penjawat awam, mereka perlu bekerja lebih 30 tahun baru berhak mendapatkan pencen. Bagi ahli politik, masuk pejabat terus layak dapat pencen seumur hidup.”
“Dahlah baru masuk pejabat terus layak dapat pencen, pencen pula bukan satu, bertingkat-tingkat. Ada pencen Ahli Parlimen, Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Speaker. Siap ada jawatan bertimbun-timbun syarikat milik kerajaan (GLC) serta agensi yang berlainan.”
Jelasnya, ada di antara Menteri Besar menerima gaji dan elaun mencecah RM180,000 sebulan tanpa mengira bayaran dari jawatan lain seperti GLC di peringkat Negeri dan dekat peringkat Persekutuan.
Tambahnya lagi, pengiraan pencen bagi ahli politik juga berlainan iaitu berbeza dengan pengiraan pencen untuk penjawat awam.
“Kiraan pencen bagi ahli politik agak unik, saya baru masuk pejabat sebagai Menteri tetapi jumlah pencen bukan berdasarkan berapa lama saya berkhidmat sebagai Menteri tetapi berapa lama saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.”
“Lagi lama saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, lagi tinggi pencen Menteri saya,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Tambahnya, kelebihan pencen tersebut menyebabkan terdapat ahli politik yang tidak mahu melepaskan jawatannya.
“Sebab itu banyak ahli politik tua tak nak lepaskan jawatan. Bergaduh-gaduh dengan pimpinan anak muda mereka kerana lagi lama mereka berkhidmat sebagai Ahli Parlimen lagi tinggi jumlah pencen Ahli Parlimen dan pencen menteri,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan Kerajaan menghapuskan sistem pencen bagi seluruh ahli politik dan mengembalikan sistem caruman.