Tempatan

Haniff Khatri: Firdaus Wong V Loh Siew Hong

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 06 April 2022 – “Pada 25 Mac 2022, ibu, Loh Siew Hong (LOH) telah memfailkan Permohonan Kebenaran untuk semakan kehakiman bagi tujuan membatalkan pengislaman ketiga-tiga anak mualaf bawah umur yang telah didaftarkan pengislamannya di Perlis, di mana ianya difailkan terhadap Pendaftar Mualaf Perlis, MAIPs, Mufti Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis, dan kini ditetapkan untuk Bicara Permohonan Kebenaran itu secara sesepihak (Ex-Parte) pada 17.05.2022.”

Demikian fakta yang dikongsi oleh Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam Facebooknya bertarikh 04 April 2022.

Beliau turut mengulas mengenai kontroversi laporan polis yang dibuat oleh Loh Siew Hong dan laporan polis yang kemudiannya dibuat oleh Firdaus Wong Wai Hung, aktivis yang juga pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM).

Terdahulu, Loh Siew Hong telah membuat satu laporan polis terhadap beberapa pihak termasuk Firdaus Wong kerana didakwa telah memuat naik gambar dan video Loh serta anak-anaknya di Facebook.

Menurut Loh Siew Hong, perbuatan tersebut bertujuan mengaibkannya dan memberikan tekanan supaya dia tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman tersebut selain berkata, pendakwah tersebut juga memfitnahnya dengan mengatakan dia ada “menyimpan lelaki lain”.

Firdaus Wong sebagai respon telah menerbitkan empat siri video untuk menyampaikan penjelasan dan rentetan peristiwa sekaligus menyangkal tohmahan dan dakwaan salah oleh beberapa pihak terhadap Nagashwaran dan seorang wanita yang telah membantu bapa kepada anak-anak mualaf tersebut dalam menguruskan pembelajaran dan perbelanjaan hidup mereka selepas Nagashwaran ditahan di penjara di Kelantan.

Baru-baru ini juga, Firdaus Wong telah membuat satu laporan polis balas terhadap kandungan laporan polis Loh Siew Hong terhadapnya.

Menurut kenyataan Haniff Khatri yang memetik laporan portal Malaysiakini bertarikh 01 April, “Pendakwah bebas, Firdaus Wong hari ini membuat laporan polis terhadap Loh Siew Hong kerana didakwa membuat laporan palsu terhadapnya sebelum ini.”

Dalam laporan yang dimuat naik di Facebook Firdaus Wong Wai Hung – Official, Firdaus Wong menjelaskan tidak ada video yang mengaibkan dan memberi tekanan supaya Loh tidak meneruskan semakan kehakiman secara sepihak (ex-parte) untuk pembatalan pengislaman ketiga-tiga anak mualafnya.

Mengakhiri kenyataan, Haniff Khatri meminta semua pihak supaya bersabar dalam menanti perkembangan lanjut daripada pihak polis berkenaan isu laporan polis yang dibuat oleh Loh Siew Hong dan laporan polis balas oleh Firdaus Wong.

Selain itu, beliau turut mengharapkan semua pihak bertenang menunggu dua perbicaraan yang akan tampil di medan mahkamah tidak lama lagi iaitu permohonan pencelahan MAIPs yang ditetapkan untuk perbicaraan pada 29 April 2022.

Seterusnya, permohonan kebenaran semakan kehakiman secara sepihak (ex-parte) Loh Siew Hong untuk pembatalan pengislaman ketiga-tiga anak mualaf bawah umur tersebut di Perlis pada 07 Julai 2020.

Leave a Reply

Back to top button