Tempatan

Haniff Khatri: Akta SOSMA Boleh Digubal Semula

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 April 2022 – Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan bahawa daripada segi perundangan, usul melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih boleh dicadangkan semula di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, walaupun pindaan tersebut telah ditolak pada 22 Mac lalu namun, tidak ada halangan untuk Kerajaan menampilkan Rang Undang-Undang (RUU) itu semula dalam bentuk yang sama kerana ada Ahli Parlimen yang tidak hadir ataupun dalam bentuk yang berbeza, yang mungkin boleh menarik perhatian pembangkang untuk memberikan sokongan.

Haniff juga berkata, Kerajaan masih mempunyai masa selagi mana RUU tersebut dibawa serta diluluskan di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara sebelum daripada 31 Julai 2022.

Menurut beliau lagi, masih terdapat sesi persidangan Parlimen yang akan diadakan sebelum 31 Julai, di mana beliau mencadangkan dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH), pihak Kerajaan terutamanya Menteri Dalam Negeri dan Menteri Parlimen dan Undang-Undang boleh membuat rundingan dengan semua pihak mengenai klausa bagaimana yang boleh diselia dan boleh dibentangkan untuk persetujuan ramai.

Haniff memberi contoh untuk melanjutkan 7 hari selepas 24 jam kes dimulakan, dan menambah setiap 7 hari berikutnya sehingga 28 hari seperti diperuntuk dalam Seksyen 4(5) SOSMA.

Selain itu, peruntukan tahanan reman 28 hari tersebut adalah perlu untuk menangani isu terorisme, maka Haniff mencadangkan agar pihak Kerajaan menjelaskan secara terperinci mengenai keperluan siasatan lanjut kes berkaitan terorisme kepada pihak majistret.

“Saya syorkan sebagai seorang pengamal undang-undang, saya yakin kalau 28 hari dilanjutkan melalui Superintendan polis ke atas sahaja, ianya akan tidak begitu saksama untuk hak asasi mana-mana rakyat walaupun peruntukan itu perlu untuk terorisme.”

“Adakah kerana ianya berpusat mungkin di negara lain ataupun adakah mungkin ianya melibatkan pihak-pihak tertentu, yakinkan dan pihak majistret boleh lanjutkan.”

“Yakinlah, mahkamah tidak akan menghalang pihak berkuasa daripada melaksanakan tanggungjawab siasatan, tapi sekurang-kurangnya rakyat negara akan rasa selesa bahawa ianya disemak dan diimbang, dipantau oleh mahkamah dan dalam keadaan yang perlu baru mahkamah bagi,” jelas Haniff Khatri.

Rumusan beliau adalah dengan membentangkan kes dengan penyeliaan pihak majistret. Ini kerana, “Saya yakin pihak polis memang perlukan masa,” kata beliau.

Leave a Reply

Back to top button