Tempatan

Hampir 50 Ribu Kemalangan Jalanraya Libat Kenderaan Tiada Insurans, Cukai Jalan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 25 Ogos 2024 – Lebih 46,000 kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans dan cukai jalan dalam tempoh kurang enam tahun lalu.

Rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Januari 2019 hingga Mei lalu menyaksikan sejumlah 46,571 kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan tersebut dan tahun lalu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11,336 kes atau 24.34 peratus daripada keseluruhan kes.

Ia mencetuskan kebimbangan kerana pada 2021, Malaysia mencatatkan 5,707 kemalangan melibatkan kenderaan itu, namun meningkat sekali ganda dalam tempoh dua tahun.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Ma­laysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, peningkatan kes kemalangan ken­deraan tiada cukai jalan dan insurans sangat membimbangkan.

Kata beliau, kenderaan yang tidak mempunyai polisi insurans membawa risiko besar di jalan raya terutama apabila berlakunya kemalangan dan melibatkan pengguna lain.

“Sekiranya kemalangan berlaku dengan kenderaan tanpa insurans, mangsa berdepan kesulitan mendapatkan pampasan mencukupi bagi kerugian dialami. Malah, terpaksa menanggung kos pembaikan kenderaan mereka sendiri.”

“Selain itu, situasi ini mengakibatkan mangsa kemalangan berisiko menanggung kos perubatan sendiri jika pemandu yang bersalah tidak mempunyai insurans untuk menampung kos rawatan mereka,” katanya.

Semua kes kemalangan direkodkan PDRM melibatkan kesalahan trafik yang melanggar Seksyen 15 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) bagi kesalahan lesen kenderaan motor dan Seksyen 90(1) APJ 1987.

Berdasarkan rekod PDRM, sebanyak 24,866 kes direkodkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) bagi tempoh dari Januari 2019 sehingga Mei 2024 dan sabit kesalahan di bawah seksyen ini boleh didenda tidak kurang da­ripada RM300 serta tidak lebih daripada RM5,000.

Sementara itu, sebanyak 21,705 kes telah direkodkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 90(1) APJ 1987 bagi Januari 2019 hingga Mei 2024.

Jika sabit kesalahan di bawah kesalahan am dan penalti kerana membenarkan kenderaan motor digunakan tanpa insu­rans, boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan, dalam hal sabitan kali kedua atau kali kemudian, didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: