Hampir 300 Kes Buang Bayi Dalam Tempoh 2 Tahun
KUALA LUMPUR, 03 Julai 2023 – Malaysia merekodkan sejumlah 256 kes pembuangan bayi sepanjang 2020 hingga 2022 berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu tersebut.
Antara usaha yang dijalankan adalah dengan melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang telah dibangunkan sejak tahun 2009 dan dikemas kini pada 2022.
BACA JUGA: AWAS! Tanah Runtuh Di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands
BACA JUGA: Logo Halal Palsu, KPDN Serbu Kilang Susu Kacang Soya Teluk Intan
BACA JUGA: Malaysia Menang Lagi Kes Tuntutan Sulu
“PEKERTI bermatlamat meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat penyayang, bertanggungjawab dan berdaya tahan serta mengamalkan gaya hidup sihat.”
“Di bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran kesihatan reproduktif yang sihat dan selamat ditekankan menerusi pendidikan formal di sekolah atau tidak formal di luar sekolah.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu bilangan kes buang bayi yang direkodkan sepanjang 2020 hingga 2022 mengikut pecahan negeri dan rancangan pihak kementerian untuk mengatasi isu pergaulan bebas sehingga melahirkan anak tidak sah taraf.
Dalam masa yang sama katanya, kementerian juga sedang mengusahakan pendidikan tidak formal melalui Pusat Remaja KafeTEEN dan meningkatkan kompetensi pendidik termasuk memperkasa ibu bapa dan juga golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berkaitan isu kesihatan reproduktif.
“Di bawah Program PEKERTI, LPPKN telah mendirikan 18 Pusat Remaja KafeTEEN, tujuannya untuk meningkatkan akses kepada maklumat serta perkhidmatan kesihatan reproduktif, khidmat kaunseling psikososial dan program pendidikan dan pembangunan kemahiran untuk remaja,” jelasnya.
Katanya, sehingga kini lebih 840,000 remaja telah menerima manfaat daripada program di pusat itu.