Hampir 2.7 Juta Orang Disahkan Hidap Kanser Akibat Pencemaran Udara
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
DENMARK, 01 Julai 2022 – Hampir 2.7 juta orang di Eropah disahkan menghidap penyakit kanser akibat daripada pencemaran udara setiap tahun, lapor Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) menerusi satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini.
Kajian bertajuk ‘Menewaskan Kanser – Peranan Persekitaran Eropah’ mendapati bahawa pendedahan terhadap bahan pencemaran ini menyumbang sebanyak 10 peratus kes kanser di benua itu.
Kajian ini merupakan kali pertama EEA dapat mengaitkan antara kanser dan alam sekitar. Antara bahan pencemaran yang dikenalpasti EEA ialah asap rokok terpakai, radon, sinaran ultraungu (UV), serta asbestos dan bahan kimia lain.
Penyakit kanser memberi kesan besar kepada masyarakat Eropah kerana telah menyebabkan sebanyak 1.3 juta kematian setiap tahun. Namun begitu, kajian tersebut turut mengatakan risiko ini boleh dicegah jika bertindak segera.
Lapor Saudi Gazette, Hans Bruyninckx, Pengarah Eksekutif EEA mengatakan, Pelan Tindakan SIfar Pencemaran Kesatuan Eropah (EU) boleh membantu dalam mengurangkan kes dan kematian disebabkan kanser. Ia ditetapkan untuk dicapai menjelang tahun 2050 serta menyasarkan pencemaran udara, air dan tanah.
Pelan itu menyasarkan tiga sasaran utama iaitu meningkatkan kualiti udara untuk mengurangkan jumlah kematian pramatang, meningkatkan kualiti air dengan mengurangkan sisa, sampah plastik di laut dan mikroplastik yang dibebaskan ke alam sekitar serta penambaikan pada kesuburan tanah dengan menggunakan racun perosak kimia sebanyak 50 peratus dan mengurangkan kadar kehilangan nutrien.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Alam Sekitar, Perikanan dan Lautan EU, Virginijus Sinkevičius turut menyokong pelan tindakan tersebut bagi mengurangkan risiko kepada kesihatan manusia.