Antarabangsa

Hampir 15 Juta Mati Kerana COVID-19 – WHO

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SWITZERLAND, 06 Mei 2022 – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan telah berlaku hampir 15 juta kematian akibat wabak COVID-19 di seluruh dunia daripada Januari 2020 sehingga Disember 2021.

https://twitter.com/DrSamira_Asma/status/1522198253877567490

Jumlah ini hampir tiga kali ganda daripada angka kematian yang dilaporkan dan meningkat sebanyak 13% daripada jangkaan kematian dalam tempoh dua tahun.

Menurut laporan BBC News, kebanyakan negara dipercayai tidak membuat kiraan tepat mengenai jumlah sebenar kematian COVID-19 kerana jumlah yang dilaporkan hanya sebanyak 5.4 juta kematian.

Jelas WHO, pengiraan ini mengambil kira kematian COVID-19 yang berlaku secara tidak langsung seperti masalah akses ke hospital, kelemahan dalam penyimpanan rekod dan kekurangan ujian pada permulaan krisis.

Namun begitu, kata mereka, majoriti daripada 9.5 juta lebihan kematian ini secara langsungnya terjadi akibat wabak tersebut.

Mengulas lanjut mengenai angka itu, Dr Samira Asma, Penolong Ketua Pengarah Jabatan Data WHO mengatakan ia suatu tragedi.

“Jumlah ini mengejutkan dan penting untuk kita menghormati nyawa yang terkorban. Jika kita tidak mengira jumlah kematian, kita akan terlepas peluang untuk lebih bersedia pada masa akan datang,” ujarnya.

Di India sahaja sudah terdapat 4.7 juta kematian akibat wabak ini dan nilai tersebut 10 kali ganda berbanding angka yang dilaporkan. Ia juga merangkumi satu pertiga anggaran jumlah kematian seluruh dunia.

Selain India, antara negara dengan jumlah lebihan kematian tertinggi ialah Rusia, Indonesia, Brazil, Mexico, Peru dan juga Amerika Syarikat. Manakala negara yang rendah jumlah kematian berlebihan termasuklah China yang menjalankan dasar sifar COVID, Australia yang mengenakan sekatan perjalanan keluar masuk negara yang ketat, Jepun dan juga Norway.

Para ahli akademik yang membantu menyediakan laporan itu mengakui anggaran mereka lebih spekulatif terhadap negara di rantau Afrika kerana kekurangan maklumat yang diperolehi daripada rantau tersebut.

Profesor Jon Wakefield, ahli statistik daripada Universiti Seattle, Washington memaklumkan kepada BBC, “Kami memerlukan sistem pengumpulan data yang lebih baik dengan segera.”

Tambahnya, “Sungguh memalukan bahawa orang boleh lahir dan mati, tapi kita tiada rekod atas kematian mereka. Jadi kami benar-benar perlu melabur dalam sistem pendaftaran negara supaya boleh memperolehi data yang tepat pada masa yang tepat.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: